SHAH ALAM - Kemajuan sesebuah negeri tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi tahap kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
Untuk itu masyarakat mendambakan pemimpin yang memahami denyut nadi rakyat, keperluan setempat serta mampu membawa penyelesaian praktikal dan mampan.
Atas dasar itu, pendekatan pembangunan inklusif amat penting bagi memastikan tiada komuniti tercicir.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menjadi ruang dan peluang buat calon daripada pelbagai parti politik untuk membuktikan manifesto masing-masing bukanlah omong kosong, sebaliknya komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan pengundi di negeri tersebut.
Bagi calon DUN Kemelah mewakili Barisan Nasional (BN), K Raven Kumar, tumpuan utamanya ketika ini menterjemahkan kerangka besar Maju Johor 2030 ke peringkat akar umbi, di mana kemajuan ekonomi negeri seiring kesejahteraan sosial penduduk setempat.
Beliau tekad memastikan wujudnya pembangunan inklusif yang menyentuh setiap lapisan masyarakat antara lain warga Felda, usahawan kecil, belia dan keluarga muda agar tiada siapa pun tercicir daripada menikmati limpahan kemakmuran ekonomi Johor.
Raven Kumar berkata, terdapat tiga isu paling mendesak yang perlu diselesaikan khususnya di Kemelah iaitu peluang pekerjaan tempatan dan keterjaminan pendapatan, penaiktarafan infrastruktur dan utiliti awam serta pemilikan kediaman generasi baharu.
“Manifesto yang bakal diberi keutamaan adalah memperluas pembiayaan mikro tanpa faedah, dana Usahawan Maju Johor buat golongan wanita, belia dan syarikat pemula, mengecualikan bayaran lesen perniagaan tahun pertama bagi penjaja kecil serta menyediakan bimbingan keusahawanan komuniti untuk membantu peniaga desa naik taraf.
“Selain itu, bina unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) baharu, menyediakan subsidi perumahan serta skim sewaan sambil menabung untuk golongan belia dan melaksanakan program bantuan baik pulih rumah usang secara bersasar untuk golongan memerlukan.
“Fokus juga pemerkasaan agenda Johor Bersih 2.0 dengan pendekatan pasang lampu jalan baharu, naik taraf taman rekreasi komuniti serta laksana Program Jualan Kasih Johor secara berkala demi mengurangkan isu kos sara hidup,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Digitalisasi, TVET belia setempat
Calon BN di kerusi DUN Serom, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim pula mahu memfokuskan agenda pemerkasaan latihan kemahiran digital serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar bilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi ditingkatkan.
Selain itu, kata Nadhirah Afiqah, memperluas pembangunan yang mampan dan seimbang merangkumi infrastruktur, pendidikan, kesihatan, ekonomi serta kebajikan supaya tiada golongan yang tercicir daripada arus kemajuan.
Pada masa sama, beliau bertekad untuk membantu usahawan dan suri rumah menjana pendapatan bagi meningkatkan taraf hidup keluarga kecil mereka.
“Sebagai calon muda BN, saya mahu membawa tenaga dan idea baharu dengan tindakan nyata, bukan sekadar janji.
“Komitmen saya adalah untuk menjadi wakil rakyat yang sentiasa turun padang, mudah didekati dan sentiasa mengutamakan penyelesaian kepada setiap isu rakyat di DUN Serom.
“Saya tidak mahu menawarkan janji yang terlalu tinggi untuk ditunaikan tapi saya beri jaminan sentiasa bersama rakyat dan mendengar suara mereka.
“Bukan kejar jawatan, saya hadir kerana mahu berkhidmat. Jadi, saya mohon dengan rendah hati agar rakyat DUN Serom memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi suara dan membawa aspirasi masyarakat,” ujar calon muda itu lagi.
Hanya BN mampu tadbir di Johor
Manifestasi sama turut dizahirkan calon veteran bagi DUN Tiram, Datuk Abdul Halim Suleiman apabila beliau komited melaksanakan 20 ikhtiar yang terkandung dalam manifesto BN demi membawa lebih banyak pembangunan, peluang serta kesejahteraan kepada penduduk.
Setiausaha Badan Perhubungan BN Johor itu berpandangan, penduduk di DUN Tiram memerlukan wakil rakyat yang memberi perhatian terhadap isu yang membelenggu penduduk setempat dan menawarkan jalan penyelesaian tuntas.
“Jika pengundi memberikan keyakinan kepada saya, saya akan melakukan yang terbaik untuk memajukan DUN Tiram bersama-sama rakyat. Apa yang penting adalah kita bergerak sebagai satu pasukan demi masa depan kawasan ini,” tegasnya.
Beliau turut menyifatkan jalinan kerjasama di DUN Tiram amat positif, selain memuji sikap penduduk yang mempunyai pandangan jauh serta bersedia berganding bahu membangunkan kawasan itu.
Tambahnya, kerjasama erat antara wakil rakyat, kerajaan negeri dan masyarakat akan memperkukuh tadbir urus di DUN Tiram, sekali gus memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan efektif.
“Tiada parti lain mampu mentadbir selain BN di negeri ini. Sebab itulah saya berharap rakyat terus beri mandat kepada BN supaya agenda pembangunan Johor diteruskan,” kata Ahli Dewan Negara bagi DUN Johor itu lagi.