‘Manusia burung’ Kenya jadi sensasi internet

Iklan
Magutha membelai beberapa ekor burung sebelum memberi makan di kediamannya di Kayole. Foto AFP

NAIROBI – Seorang lelaki Kenya yang dikenali sebagai 'manusia burung' mencuri perhatian pengguna internet selepas kisah hidupnya bersama burung-burung yang diselamatkannya menjadi tular, namun hubungan rapat itu turut mengundang kebimbangan pihak berkuasa kesihatan.

Rodgers Oloo Magutha, 28, yang pernah hidup sebagai gelandangan di Nairobi berkata, minatnya menjaga burung bermula sebagai cara untuk mengatasi tekanan dan kemurungan ketika melalui kehidupan sukar di jalanan.

Iklan
Iklan

Pada 2024, namanya mula dikenali selepas gambar dan video memaparkan dia berjalan tenang di tengah-tengah demonstrasi besar di Nairobi sambil seekor burung layang-layang bertenggek di kepalanya tersebar luas di media sosial.

Seorang kanak-kanak menghulurkan tangan untuk menyentuh seekor burung yang dipelihara Maguthaa ketika dia berjalan di sekitar kawasan perumahannya. Foto AFP

Iklan

Kini, Magutha menetap di sebuah rumah kecil di pinggir bandar Nairobi dan mempunyai puluhan ribu pengikut di platform TikTok serta Instagram yang mengikuti kehidupannya bersama pelbagai spesies burung.

Antara burung yang dijaganya termasuk helang layang-layang, burung gagak, bangau dan beberapa spesies lain yang berkeliaran bebas di kediamannya atau mengikutinya ketika dia keluar mengumpul barangan kitar semula bagi mencari pendapatan.

Iklan

“Saya suka menyelamatkan burung,” katanya kepada AFP sambil menggambarkan dirinya sebagai peminat burung bandar.

Magutha memberi makan burung-burung yang dipeliharanya sambil merakam video di kediamannya di Kayole, Nairobi. Foto AFP

Selamatkan berpuluh ekor burung

Magutha mendedahkan bahawa dia telah menyelamatkan lebih 20 ekor burung sepanjang beberapa tahun lalu, termasuk burung bangau marabou, bangau kerbau dan beberapa spesies burung lain.

Menurutnya, burung-burung itu bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi menjadi teman yang menemaninya ketika melalui fasa sukar dalam hidup.

Magutha membawa seekor burung helang hitam di atas kepalanya ketika membeli-belah di sebuah pasar raya berhampiran kediamannya. Foto AFP

Namun, kegiatannya kini mendapat perhatian pihak berkuasa selepas sebuah video menunjukkan dia makan bersama burung-burung tersebut daripada pinggan yang sama mencetuskan kebimbangan mengenai risiko kesihatan.

Pihak berkuasa bandar Nairobi menggesa Magutha melepaskan burung berkenaan kerana bimbang hubungan rapat dengan haiwan liar boleh membawa risiko penyebaran penyakit.

Bimbang risiko penyakit

Magutha bagaimanapun menolak kebimbangan itu dan berkata, dia sudah lama hidup bersama burung berkenaan tanpa mengalami sebarang masalah kesihatan.

“Saya pernah hidup di jalanan, kami makan bersama dan tidur bersama dalam kesejukan, tetapi tiada apa berlaku kepada saya,” katanya.

Dia turut menegaskan burung-burung itu bebas meninggalkannya apabila sudah bersedia kembali ke habitat asal.

“Misi saya bermula dengan menyelamatkan mereka, memberi ruang selamat untuk mereka tinggal tanpa gangguan. Apabila mereka bersedia dilepaskan, saya akan lepaskan,” katanya.

Seorang penduduk berswafoto bersama Magutha ketika dia membawa beberapa ekor burung yang dipeliharanya berjalan di luar. Foto AFP

Bagaimanapun, Institut Penyelidikan Perubatan Kenya memberi amaran bahawa hubungan berpanjangan dengan haiwan liar boleh meningkatkan risiko jangkitan penyakit tertentu.

Magutha berkata, aktivitinya bukan sekadar memelihara burung, tetapi turut menjadi cara menyampaikan mesej mengenai pemuliharaan alam sekitar.

“Saya menyebarkan kesedaran mengenai mesej pemuliharaan. Kita boleh menunjukkan kepada orang ramai bahawa manusia dan alam boleh hidup bersama,” katanya.

Kisah Manusia Burung Kenya ini terus mencetuskan perbincangan antara usaha memelihara hidupan liar dan keperluan menjaga keselamatan kesihatan awam.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan usaha pemuliharaan hidupan liar perlu dilakukan dengan pendekatan yang selamat dan mengikut garis panduan kesihatan.

Mereka menggesa orang ramai supaya tidak meniru hubungan rapat dengan haiwan liar tanpa memahami risiko yang mungkin berlaku.-AFP