SHAH ALAM - Datin Seri Rosmah Mansor mengecam tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang menyebarkan propaganda dan menggunakan wajah serta imejnya dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib itu berkata, kenyataan yang dipaparkan dalam bahan kempen tersebut disifatkan sebagai satu pembohongan bagi mengelirukan pengundi.
Beliau turut menyifatkan perbuatan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu amat memalukan sebagai seorang menteri.
"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti dalam gambar tersebut.
"Ini pembohongan jelas, berniat jahat dan dibuat untuk mengelirukan pengundi," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.
Rosmah turut menggesa Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengambil tindakan terhadap Kor Ming yang didapati menyebarkan kandungan palsu.
"Kalau rakyat biasa boleh dikenakan tindakan kerana menyebarkan kandungan palsu, adakah seorang menteri DAP kebal hanya kerana beliau berada dalam kerajaan?
"Saya tidak akan berdiam diri. Politik boleh berlawan tetapi jangan jadi pengecut sampai perlu guna gambar orang lain dan ciptakan fitnah murahan untuk menipu rakyat," tegas beliau.