Penganjur disko retro tepi Sungai Kelantan berdepan penjara lapan tahun, denda RM60,000

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan sekumpulan pengunjung menari beramai-ramai dalam program hiburan bertemakan disko retro dan hippie ala 60-an serta 70-an yang dipercayai berlangsung di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan.

KOTA BHARU – Penganjur program hiburan disko retro dan hippie ala 60-an serta 70-an yang tular di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan di sini berdepan hukuman penjara hingga lapan tahun dan denda maksimum RM60,000 selepas didakwa menganjurkan acara itu tanpa permit serta menjual tiket hiburan tanpa lesen sah.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, hasil siasatan Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan bersama pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mendapati penganjur tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan bagi mendapatkan kelulusan untuk menganjurkan program berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, penganjur dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(1)(a) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 kerana menganjurkan hiburan tanpa permit yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ujar beliau, pemilik premis turut berdepan tindakan kerana didakwa melanggar syarat lesen perniagaan di bawah Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019.

Iklan

Hilmi

Tambahnya, tindakan itu termasuk pengeluaran notis kompaun dan lesen premis boleh dibatalkan sekiranya didapati melanggar syarat yang ditetapkan.

Iklan

"Beberapa notis kompaun telah dikeluarkan kepada penganjur dan pemilik premis mengikut peruntukan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 serta Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019," katanya.

Hilmi memberitahu, kerajaan negeri kekal konsisten memastikan setiap bentuk hiburan yang dianjurkan di Kelantan mematuhi undang-undang serta garis panduan yang ditetapkan.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga bersedia membimbing mana-mana pihak ingin menganjurkan program hiburan supaya mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan serta selaras dengan nilai budaya dan akhlak yang dipelihara di negeri itu.

Terdahulu pada Selasa, tular satu video berdurasi 40 saat memaparkan sekumpulan pengunjung menari beramai-ramai dalam program hiburan bertemakan disko retro dan hippie ala 60-an serta 70-an yang dipercayai berlangsung di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan.