Prabowo puji Modi, akui belajar program pembangunan India

Iklan
Prabowo (kanan) menyambut Modi di Istana Merdeka, Jakarta, pada 7 Julai 2026. Lawatan rasmi itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama strategik antara Indonesia dan India. – Foto AFP

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memuji kepimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi, sambil mengakui beberapa program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan India menjadi rujukan negaranya.

Ketika berucap pada majlis jamuan tengah hari sempena lawatan negara Modi ke Jakarta, Prabowo secara berseloroh berkata, beliau mengikuti perkembangan kerjaya pemimpin India itu dan mengambil inspirasi daripada beberapa dasar yang dilaksanakan.

Iklan
Iklan

“Saya mengikuti kerjaya anda dan meniru banyak program yang telah membawa kejayaan,” katanya yang mencetuskan gelak tawa dalam kalangan tetamu kehormat.

Prabowo berkata, Indonesia dan India mempunyai banyak persamaan termasuk jumlah penduduk yang besar, latar belakang ekonomi berasaskan pertanian serta berdepan cabaran bencana alam.

Iklan

Menurutnya, kejayaan India membuktikan saiz populasi bukan penghalang kepada pembangunan sekiranya dasar yang tepat dilaksanakan.

Beliau turut memuji beberapa program kerajaan India yang disifatkan memberikan hasil mengagumkan dan boleh dijadikan contoh untuk Indonesia.

Iklan

Prabowo secara berseloroh berkata tiada 'hak cipta' terhadap idea pembangunan yang berjaya, sambil menyatakan Indonesia terbuka untuk mempelajari pengalaman negara lain.

“Saya sangat gembira kerana tiada hak cipta terhadap semua program anda,” katanya.

Beliau turut memaklumkan satu pasukan dari Indonesia baru-baru ini menghabiskan masa antara dua hingga tiga minggu di India bagi mengkaji projek pembangunan yang berjaya dilaksanakan.

Antara bidang yang menarik perhatian Indonesia ialah usaha India memulihkan kawasan kering dan tandus menjadi tanah pertanian subur melalui teknik pertanian lestari atau permakultur.

Prabowo berkata, Indonesia mempunyai banyak perkara untuk dipelajari daripada pengalaman India dan tidak malu untuk mendapatkan pandangan daripada negara lain.

Sementara itu, lawatan Modi ke Jakarta merupakan kunjungan rasmi selama tiga hari atas jemputan Prabowo. Ia juga menjadi lawatan dua hala pertama beliau selepas hubungan India-Indonesia dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2018.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan, perdagangan, pelaburan, keselamatan maritim dan teknologi.-Agensi