KULAI - Lapan teras keperluan asas rakyat digariskan dalam Pelan Tindakan N50 Bukit Permai dan N52 Senai oleh dua calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16.
Calon DUN Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ali dan calon DUN Senai, Wong Bor Yang berkata, antara perkara yang ditawarkan ialah mengurangkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, memperkukuh tadbir urus kerajaan tempatan dan menambah baik pengangkutan awam.
"Ini termasuk menyelesaikan isu tanah, membina komuniti yang lebih berkualiti, merancakkan ekonomi tempatan serta memperluas akses kepada perumahan mampu milik.
"Tawaran pertama adalah mengurangkan kesesakan lalu lintas iaitu melibatkan naik taraf persimpangan bertingkat Bandar Putra, membina jalan alternatif Saleng-Jalan Jumbo dan mempercepat pelaksanaan jalan pintasan projek Senai-Kulai.
"Kedua adalah memperkasakan perkhidmatan kesihatan iaitu dengan langkah mempercepat pembinaan Klinik Kesihatan (KK) Bandar Putra dan mempercepat pembinaan KK Taman Mewah Senai.
"Ini kerana KK Senai yang dinaik taraf daripada klinik desa sebelum ini sudah tidak dapat menampung kapasiti pesakit yang bertambah sekarang ini," katanya pada sidang media di Indahpura, di sini pada Rabu.
Mohamad Shafwan berkata, pelan ketiga pula ialah memperkasa tadbir urus kerajaan tempatan iaitu langkah memastikan kadar cukai harta yang munasabah serta memperketat pemantauan prestasi konsesi dan kontraktor.
Ujarnya, teras keempat ialah melengkapkan rangkaian pengangkutan awam (Last Mile Connectivity) iaitu memperluaskan liputan Bas Muafakat Johor.
"Ini termasuk menambah laluan Bas.My mengikut keperluan penduduk di samping membina lebih banyak jejantas dan kemudahan pejalan kaki yang selamat," katanya.
Tambah Bor Yang, teras keenam pula ialah menyelesaikan isu tanah secara sistematik termasuk mempercepat penyelesaian kes hak milik dan pertindihan lot selain juga mempercepat proses lanjutan pajakan tanah.
"Teras keenam adalah membina komuniti yang selamat dan berkualiti. Ini melibatkan menambah baik sistem perparitan dan tebatan banjir," katanya.
Menurutnya, bagi teras ketujuh ialah merancakkan ekonomi tempatan iaitu memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk penduduk tempatan selain memudahkan urusan permohonan lesenipolagaan.
"Ia termasuk menjayakan inisiatif MyKiosk dan memperkenalkan idea baharu bagi mempromosikan produk pelancongan dan ekonomi tempatan.
"Akhir sekali iaitu memperluas akses kepada perumahan mampu milik. Ini adalah usaha memperjuangkan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Daerah Kulai," katanya.