RCI kes Azam Baki tunggu siasatan selesai - Azalina

Iklan
Azalina (gambar kiri) berkata, ketika ini pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi meneliti semua dakwaan untuk mendapatkan fakta yang lengkap dan sahih.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan membabitkan pemilikan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, serta dakwaan kewujudan 'mafia korporat' dalam agensi itu belum boleh ditubuhkan selagi siasatan pihak berkuasa masih berjalan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika ini pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi meneliti semua dakwaan untuk mendapatkan fakta yang lengkap dan sahih.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, proses siasatan perlu diberi ruang untuk dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh mengikut lunas undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.

"Kerajaan juga yakin bahawa sebarang tindakan susulan hendaklah berpandukan kepada hasil siasatan berkenaan bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berasaskan fakta, keadilan dan prinsip kedaulatan undang-undang," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH - Bagan), yang meminta penjelasan mengapa RCI tidak ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu yang didakwa melebihi had yang dibenarkan kepada penjawat awam, selain dakwaan kewujudan 'mafia korporat' dalam SPRM.

Azalina berkata, penubuhan RCI tertakluk kepada peruntukan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) dan perlu melalui beberapa proses, termasuk penyediaan Memorandum Jemaah Menteri oleh kementerian peneraju sebelum mendapat kelulusan Kabinet.

Iklan

Katanya, selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri, Perdana Menteri akan menyembah maklum cadangan penubuhan RCI kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan.

"Sekiranya diperkenankan, penubuhan RCI akan membabitkan penetapan terma rujukan, keanggotaan dan tempoh siasatan yang akan dimuktamadkan melalui pewartaan dalam Warta Kerajaan Persekutuan sebelum suruhanjaya itu memulakan fungsinya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan penubuhan RCI atau apa-apa mekanisme lain yang bersesuaian sekiranya didapati perlu demi kepentingan awam.

Menurutnya, sebarang pertimbangan berhubung cadangan penubuhan RCI bagi menyiasat isu 'mafia korporat' dan perkara berkaitan akan dibuat berdasarkan proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang dengan mengambil kira fakta, dapatan dan perkembangan semasa hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

"Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah berasaskan prinsip kedaulatan undang-undang, integriti proses siasatan serta kepentingan awam," katanya.