KUALA LUMPUR - Wang tunai dan harta yang disita semasa siasatan kes melibatkan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah pada tahun 2016 masih berada dalam simpanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu berikutan proses rayuan terhadap kes berkenaan masih berjalan di mahkamah.
Beliau berkata, berdasarkan input diterima daripada SPRM, secara lazimnya permohonan penyitaan terhadap sesuatu aset berada di bawah bidang kuasa agensi penguat kuasa dan aset tersebut akan kekal dalam jagaan agensi berkenaan sehingga keputusan mahkamah dimuktamadkan.
"Aset hanya akan dilucuthakkan dan dimasukkan ke dalam Perbendaharaan Malaysia selepas perintah pelucuthakan diperoleh daripada mahkamah.
"Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen, pihak pendakwaan telah memohon supaya kesemua wang dan harta yang disita dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, katanya, mahkamah telah memerintahkan supaya permohonan pelucuthakan itu ditangguhkan terlebih dahulu sehingga semua proses rayuan di mahkamah yang lebih tinggi selesai.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (Tuaran) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Terdahulu, Madius meminta Perdana Menteri menyatakan lokasi wang rampasan RM114 juta oleh SPRM dalam kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan bekas Pengarah Jabatan Air Sabah pada 2016.
Madius turut meminta kerajaan menyatakan langkah kerajaan untuk mengembalikan wang itu kepada Kerajaan Sabah memandangkan wang berkenaan didakwa diperuntukkan bagi menaik taraf bekalan air di negeri tersebut.
Dalam pada itu, Azalina berkata, pihak pendakwaan turut memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen dan perkara itu masih tertakluk kepada proses perundangan yang sedang berjalan.