SHAH ALAM - Hanya kerana dibunyikan hon, tindakan ganas seorang pembuli jalanan menetak penunggang motosikal dengan pisau potong daging di Lebuhraya Persekutuan, bulan lalu, mengundang padah apabila dia dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Jurujual, Azmi Jantan, 43, dikenakan hukuman berkenaan bermula tarikh tangkap, 11 Jun lalu, selepas mengekalkan pengakuan bersalah di hadapan Hakim, ‘Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid.
Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap eksekutif sebuah syarikat, Mohd Fairus Jaafar, 45, dengan menetak mangsa menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian.
Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 14.6 laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13 di sini, jam 8.19 pagi pada 11 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, semasa menunggang motosikal di laluan berkenaan, tertuduh berang selepas mangsa membunyikan hon.
Suspek kemudiannya menyerang mangsa sehingga dia mengalami kecederaan patah tulang bahu, tulang tangan, jari dan pergelangan tangan kiri serta luka di kepala.
Hakim: Kamu kenal mangsa?
Azmi: Tidak.
Hakim: Kenapa kamu bawa pisau pemotong daging itu?
Azmi: Saya bawa dari rumah sebab nak buang.
Hakim: Buang di mana?
Azmi: Di tong sampahlah.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kes itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian organ penting.
Menurutnya, insiden terbabit berpunca daripada isu remeh apabila mangsa hanya membunyikan hon, namun tertuduh bertindak agresif dengan menggunakan senjata berbahaya yang boleh membawa maut.
“Perbuatan tertuduh mencetuskan ketakutan kepada pengguna jalan raya dan nasib baik mangsa tidak meninggal dunia.
“Selain mengambil kira kepentingan awam, hukuman berat wajar dikenakan sebagai pengajaran serta bagi membendung kes buli jalanan,” katanya.
Bagaimanapun, Azmi yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman diringankan.