Harga minyak terus meningkat susulan kebimbangan di Asia Barat

Iklan
Pasaran ekuiti turut terjejas apabila ketegangan baharu antara AS dan Iran menambah tekanan kepada sektor teknologi yang sebelum ini memacu pasaran ke paras rekod sepanjang dua tahun lalu.

CHINA - Harga minyak meneruskan kenaikan pada Rabu apabila krisis di Asia Barat kembali menjadi tumpuan susulan tindakan tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan baharu ke atas Iran selepas tiga kapal diserang di Selat Hormuz.

Ketegangan yang tercetus secara mendadak itu menimbulkan kebimbangan terhadap rundingan damai antara kedua-dua pihak yang sedang berusaha menamatkan konflik serta membuka semula sepenuhnya laluan perairan penting tersebut.

Iklan
Iklan

Perkembangan itu turut menambahkan sentimen suram dalam pasaran kewangan, yang sebelum ini sudah terkesan oleh gelombang jualan saham teknologi akibat persoalan mengenai penilaian syarikat yang dianggap terlalu tinggi serta bila syarikat-syarikat akan mula menjana keuntungan daripada pelaburan besar yang disalurkan ke dalam sektor kecerdasan buatan (AI) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kedua-dua penanda aras utama minyak mentah melonjak lebih dua peratus pada Rabu selepas turut mencatat kenaikan serupa pada Selasa sekali gus mencapai paras tertinggi dalam tempoh dua minggu.

Iklan

Pakar keselamatan King's College London, Andreas Krieg berkata, Iran kekal bertegas dengan tuntutannya untuk mengenakan bayaran penggunaan Selat Hormuz, sesuatu yang menurut Washington tidak boleh diterima.

"Kita kini berada dalam tempoh yang sensitif apabila pelbagai alternatif berpotensi kepada sistem tol atau bayaran Iran sedang diteroka.

Iklan

"Iran menghantar isyarat yang jelas bahawa tiada alternatif akan diterima," katanya kepada AFP.

Pasaran ekuiti turut terjejas apabila ketegangan baharu antara AS dan Iran menambah tekanan kepada sektor teknologi yang sebelum ini memacu pasaran ke paras rekod sepanjang dua tahun lalu.

Indeks Kospi Seoul, yang dianggap simbol utama kenaikan pasaran Asia kebelakangan ini, merosot lebih satu peratus dan telah kehilangan lebih 20 peratus daripada paras tertinggi rekod yang dicatatkan bulan lalu.

Saham Samsung sekali lagi menerima tekanan selepas kejatuhan pada Selasa, walaupun syarikat itu meramalkan keuntungan operasinya melonjak lebih 1,800 peratus pada suku kedua hasil permintaan kukuh terhadap cip AI.

Pasaran saham di Tokyo, Shanghai, Sydney, Singapura, Wellington dan Taipei turut mencatat kerugian. Namun begitu, pasaran Hong Kong meningkat lebih satu peratus.

Menurut Nick Twidale dari AT Global Markets, selepas sentimen AI dan teknologi mendominasi pergerakan pasaran sejak beberapa minggu lalu, pelabur kini terpaksa kembali memberi tumpuan kepada ketegangan geopolitik.

"Dan faktor ini dijangka terus mempengaruhi sentimen pasaran, terutama jika berlaku peningkatan ketegangan dalam sesi dagangan akan datang," katanya.

Dolar AS terus mengukuh berbanding mata wang utama lain apabila prospek gangguan bekalan minyak dari Asia Barat meningkatkan kebimbangan bahawa inflasi mungkin kekal tinggi lebih lama daripada jangkaan, sekali gus memberi tekanan kepada Rizab Persekutuan (Fed) untuk menaikkan kadar faedah.

Data utama sekitar 10 pagi waktu Malaysia

- Minyak Mentah (WTI): Naik 2.3% kepada AS$72.03 setong

- Minyak Mentah Brent: Naik 2.2% kepada AS$75.76 setong

- Tokyo – Nikkei 225: Turun 0.6% kepada 67,827.89

- Hong Kong – Indeks Hang Seng: Naik 1.9% kepada 23,936.60

- Shanghai Composite: Turun 0.2% kepada 3,980.82

- Seoul – Kospi: Turun 1.5% kepada 7,540.18

- Euro/Dolar AS: Turun kepada AS$1.1406 berbanding AS$1.1415

- Pound Sterling/Dolar AS: Turun kepada AS$1.3350 berbanding AS$1.3360

- Dolar AS/Yen: Naik kepada 162.37 yen berbanding 162.09 yen pada Selasa

- Euro/Pound Sterling: Turun kepada 85.43 pence berbanding 85.44 pence

- New York – Dow Jones: Turun 0.3% kepada 52,925.15 (penutupan)

- London – FTSE 100: Naik 0.1% kepada 10,665.88 (penutupan)