SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, ketetapan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif Sultan Selangor dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam di negeri ini.
Menurutnya, perkara berkaitan masjid dan surau adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, manakala penubuhan masjid, surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid atau surau turut tertakluk kepada kebenaran bertulis MAIS mengikut Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
"Jika surau di pusat beli-belah dibenarkan mendirikan solat Jumaat, ia berpotensi menjejaskan usaha memakmurkan masjid dan surau solat Jumaat sedia ada kerana jemaah mempunyai pilihan lain untuk menunaikan solat Jumaat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Salehuddin memberitahu, ketika ini terdapat 448 masjid dan 379 surau diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat di Selangor dan jumlah itu disifatkan mencukupi untuk menampung keperluan umat Islam di negeri berkenaan.
Katanya, kebanyakan pusat beli-belah juga mempunyai masjid atau surau solat Jumaat berhampiran yang memudahkan orang ramai menunaikan ibadah itu.
Menurut Salehuddin, pelaksanaan solat Jumaat lebih sesuai diadakan di masjid dan surau yang dibina khusus sebagai tempat ibadah berbanding surau atau musolla di pusat beli-belah yang lazimnya menjadi lokasi perniagaan, hiburan dan rekreasi.
Beliau berkata, MAIS juga perlu mengambil kira aspek pelantikan imam, bilal dan petugas serta tadbir urus surau sekiranya kebenaran itu diberikan.
"Jika petugas tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyukarkan pemantauan termasuk memastikan pematuhan terhadap pengurusan surau serta keseragaman penyampaian khutbah Jumaat yang disediakan oleh MAIS," ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan terdapat sebuah surau di pusat beli-belah di Selangor yang ketika ini dibenarkan mendirikan solat Jumaat, namun kelulusan berkenaan hanya bersifat sementara kerana tiada masjid berhampiran.
Beliau menjelaskan, kebenaran itu akan ditarik balik sekiranya sebuah masjid dibina berhampiran yang mampu menampung keperluan penduduk Islam setempat.
"MAIS menyeru umat Islam di Selangor terus mengimarahkan masjid dan surau sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu, dakwah serta perpaduan ummah," tambah beliau.
Terdahulu media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mengalu-alukan negeri di seluruh negara untuk melaksanakan inisiatif solat Jumaat di pusat beli-belah, susulan sambutan positif terhadap pelaksanaannya di beberapa lokasi di Wilayah Persekutuan.
Zulkifli berkata, pelaksanaan itu ketika ini dimulakan di Wilayah Persekutuan menerusi kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa kedua-dua agensi berkenaan.