AS serang Iran, Teheran ancam tindak balas

Iklan
Situasi terkini yang menyebabkan kebimbangan di Selat Hormuz dan harga minyak meningkat lebih dua peratus. Foto: Agensi

WASHINGTON - Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran pada Selasa selepas tiga kapal komersial diserang di Selat Hormuz sekali gus meningkatkan ketegangan yang mengancam usaha menamatkan konflik di Asia Barat.

Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan, serangan yang disifatkan sebagai 'berkuasa' itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kapal-kapal yang melalui laluan perkapalan strategik berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut CENTCOM, tindakan itu akan mengenakan kos yang tinggi terhadap pihak yang menyasarkan dan menyerang kapal perkapalan komersial.

Media rasmi Iran pula melaporkan beberapa letupan berlaku di sekitar Selat Hormuz, termasuk enam letupan di Pulau Qeshm, tujuh di bandar Sirik dan beberapa lagi di bandar pelabuhan utama Bandar Abbas.

Iklan

Kementerian Luar Iran berkata, AS berulang kali melanggar memorandum persefahaman yang dipersetujui kedua-dua negara dan mengancam akan bertindak balas.

"Iran memberi amaran serius terhadap akibat pelanggaran perjanjian oleh Amerika dan akan mengambil langkah tegas bagi melindungi kepentingan serta keselamatan negaranya," menurut kenyataan kementerian itu yang disiarkan media rasmi.

Iklan

Serangan itu berlaku tidak lama selepas Washington menarik balik pengecualian sementara sekatan terhadap eksport minyak Iran, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Tehran ketika rundingan penyelesaian muktamad konflik masih berlangsung.

Jabatan Perbendaharaan AS membatalkan lesen yang diumumkan pada Jun lalu, yang sebelum ini membenarkan Iran mengeluarkan, menjual dan menghantar minyak mentah serta produk berkaitan sehingga 21 Ogos.

Agensi keselamatan maritim Britain, UKMTO memaklumkan sebuah kapal tangki terkena peluru tidak dikenal pasti pada waktu malam sehingga mencetuskan kebakaran sebelum dua lagi kapal diserang, sekurang-kurangnya sebuah daripadanya dipercayai menggunakan dron.

Ketiga-tiga kapal itu diserang berhampiran perairan Oman, yang sebelum ini mencadangkan laluan transit sementara di sepanjang pantainya, namun cadangan itu ditentang Iran yang mahu mengenakan bayaran kepada kapal yang menggunakan Selat Hormuz.

Qatar memaklumkan salah sebuah kapal yang diserang ialah kapal pembawa gas asli cecair (LNG) miliknya, Al-Rekayyat sambil menyalahkan Iran dan menyifatkan serangan itu sebagai tindakan yang tidak boleh diterima terhadap kebebasan pelayaran antarabangsa.

Doha kemudian memanggil Timbalan Duta Iran bagi mengemukakan bantahan rasmi serta menuntut penjelasan, selain menggesa Tehran menghentikan segera sebarang tindakan yang menjejaskan keselamatan serantau.

"Kami menganggap Iran bertanggungjawab sepenuhnya dari sudut undang-undang terhadap serangan ini dan segala kerugian atau kesan yang timbul daripadanya," kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari, menerusi platform X.

Iran bagaimanapun menyuarakan rasa kesal terhadap tuduhan Qatar dan menyifatkannya sebagai tidak boleh diterima, menurut kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi IRNA.

Harga minyak meningkat

Serangan itu menamatkan tempoh lebih seminggu keadaan relatif tenang dan kembali mencetuskan kebimbangan mengenai kebebasan pelayaran selepas Iran sebelum ini menarik balik sekatan di Selat Hormuz susulan gencatan senjata rapuh dengan AS.

Harga minyak dunia meningkat lebih dua peratus apabila serangan baharu itu mencetuskan semula kebimbangan terhadap bekalan tenaga global serta menimbulkan persoalan mengenai ketahanan perjanjian antara Washington dan Teheran.

Pakar keselamatan dari King's College London, Andreas Krieg, berkata dunia kini memasuki fasa sensitif apabila pelbagai alternatif sedang diteroka bagi menggantikan cadangan Iran mengenakan tol atau bayaran kepada kapal yang melalui Selat Hormuz.

"Iran mahu menghantar isyarat jelas bahawa tiada alternatif akan diterima," katanya.

Menurut beliau, kapal tangki yang menggunakan laluan maritim Oman tanpa mendaftar dengan Iran berisiko dikenakan tindakan, sambil menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran jelas terhadap perjanjian gencatan senjata dan undang-undang antarabangsa.

Walaupun trafik maritim mula pulih selepas memorandum persefahaman AS-Iran dimeterai bulan lalu, Teheran menegaskan keadaan tidak akan kembali seperti sebelum perang apabila kapal bebas melalui Selat Hormuz tanpa sebarang syarat.

Di bawah memorandum 14 perkara antara AS dan Iran, Iran serta Oman yang berkongsi sempadan di Selat Hormuz perlu mengadakan rundingan bersama negara-negara Teluk lain bagi menentukan pentadbiran dan perkhidmatan maritim di laluan strategik itu.

Qatar sebelum ini enggan menjadi orang tengah ketika Iran melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas beberapa negara Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Israel.

Namun, Doha kini memainkan peranan lebih aktif dengan menjadi tuan rumah rundingan tidak langsung antara Iran dan AS pada minggu lalu. - AFP