PONTIAN – Reban ayam yang dinaik taraf dan dibesarkan bagi menampung projek ternakan itik penelur di bawah Program Sejati Madani di Kampung Parit Marjunid, di sini kini memberi nilai tambah kepada ekonomi komuniti.
Pengurus projek ternakan berkenaan, Nor Haziqah Mohd Kasmadi berkata, projek yang menerima peruntukan RM100,000 daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri itu mula dilaksanakan pada September 2024 bagi mengembangkan penternakan itik penelur di kampung tersebut.
"Hasil telur yang diperoleh dipasarkan sebagai telur mentah selain diproses menjadi telur masin bagi memberi nilai tambah kepada produk yang dihasilkan.
"Melalui jualan telur mentah dan telur masin, projek ini mampu menjana pendapatan kira-kira RM10,000 sebulan. Kami juga memperoleh pendapatan tambahan menerusi jualan daging itik jantan," katanya kepada Sinar Harian.
Nor Haziqah berkata, projek tersebut turut memberi peluang kepada penduduk setempat memperoleh pendapatan sampingan dengan membantu operasi projek.
Menurutnya, antara yang terlibat ialah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibu tunggal, golongan asnaf dan individu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
"Mereka membantu mengutip telur, mencuci telur, menghasilkan telur masin selain menguruskan jualan serta pemasaran produk.
"Walaupun hanya membantu dalam operasi tertentu, penglibatan mereka secara tidak langsung membolehkan komuniti setempat menjana pendapatan tambahan," katanya.
Katanya, hasil jualan dan keuntungan projek disalurkan ke akaun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Parit Marjunid serta Maahad Tahfiz al-Quran Al-Marjunidy bagi membiayai pelbagai aktiviti dan kelancaran pengurusan madrasah.
Nor Haziqah berkata, kerjasama antara JPKK dengan pihak maahad tahfiz itu membolehkan projek ternakan itik penelur tersebut dilaksanakan secara tersusun, selain memberi manfaat kepada komuniti setempat menerusi peluang ekonomi yang diwujudkan.