Empat naratif utama tentukan rentak PRN Johor

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu mengenai 10 pertarungan naratif PRN Johor.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor kali ini memperlihatkan persaingan yang bukan lagi tertumpu kepada manifesto semata-mata, sebaliknya didominasi perang persepsi dan naratif di platform digital bagi mempengaruhi sokongan pengundi.

Berbaki hanya beberapa hari sebelum pengundian, kempen PRN Johor terus didominasi empat naratif utama yang mencorakkan persaingan antara parti bertanding.

Iklan
Iklan

Pertama, dakwaan 'Undi BN, Najib bebas' yang dibangkitkan Pakatan Harapan (PH) menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) bertujuan mewujudkan tekanan politik untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Iklan

Bagaimanapun, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menolak dakwaan itu, sambil menegaskan kuasa pengampunan adalah hak eksklusif Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, dakwaan 'Undi BN dapat Pas', apabila PH mendakwa wujud kerjasama tidak rasmi antara BN dan PAS bagi mengukuhkan undi Melayu di kawasan tertentu.

Iklan

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan itu sebagai propaganda, manakala Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan strategi parti itu hanyalah langkah pragmatik untuk menghalang dominasi DAP di kawasan kritikal.

Ketiga, kempen 'Tolak DAP' yang digerakkan BN Johor di bawah pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan matlamat mengekalkan kestabilan pentadbiran negeri tanpa bergantung kepada politik pelbagai parti.

Kempen itu bagaimanapun dikritik PH dan DAP, apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, mengingatkan BN Johor supaya menghormati semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Keempat, isu penggunaan aset kerajaan yang dibangkitkan Bersih terhadap PH dan BN, termasuk penyiaran ceramah di RTM, pengagihan 3,000 Kad Komuter Madani Shuttle Selatan, peruntukan RM216.44 juta oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, selain pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Johor serta bantuan Bakul Kasih Johor.

Perdana Menteri mengakui berlaku kesilapan teknikal membabitkan RTM dan mengarahkan pembetulan segera, manakala BN Johor menegaskan semua program pembangunan dan bantuan berkenaan adalah kesinambungan agenda pentadbiran negeri, bukannya bahan kempen.

Kesimpulannya, PRN Johor memperlihatkan persaingan sengit antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan yang bertembung di peringkat negeri.

Dalam suasana politik digital, keupayaan menguasai naratif dan menangkis persepsi dilihat menjadi antara faktor penting dalam mempengaruhi pengundi, khususnya golongan atas pagar.