Asia Tenggara diancam El Nino

Iklan
Saintis meramalkan kekuatan 'super El Nino' berpotensi meningkatkan lagi suhu global.

LONDON - Satu kajian memberi amaran bahawa El Nino dijangka memberi impak kepada bandar-bandar di Asia Tenggara.

Laporan penyelidikan Universiti Oxford berjudul A globally comparable framework for heat risk assessment in cities (2026) menilai risiko haba di bandar-bandar seluruh dunia.

Iklan
Iklan

Kajian itu mendapati Ho Chi Minh di Vietnam berada pada kedudukan risiko haba tertinggi di dunia disusuli Bangkok dan Samut Prakan di Thailand.

Penyelidik menjelaskan bahawa risiko tersebut bukan hanya disebabkan suhu tinggi semata-mata, tetapi juga gabungan keadaan panas dan lembap yang menyukarkan tubuh manusia melepaskan haba, kesan pulau haba bandar, pembangunan pesat dan kepadatan penduduk.

Iklan

Sebahagian persediaan awal, Bangkok telah mula merangka langkah pengurusan air selepas ramalan menunjukkan kesan El Nino boleh menyebabkan keadaan kekurangan air berlanjutan sehingga 2027.

"Sekiranya 'super El Nino' benar-benar berlaku, rantau Asia Tenggara termasuk Thailand, Vietnam, Indonesia dan Papua New Guinea akan berdepan kemarau berpanjangan, penurunan taburan hujan, tekanan terhadap sumber air serta hasil pertanian yang mengancam keselamatan makanan dan risiko kebakaran besar," menurut kandungan laporan itu lagi.

Iklan

Beberapa bahagian dunia turut berdepan risiko kemarau teruk pada tahun ini. Dunia kini berdepan gangguan iklim dengan corak cuaca yang semakin ekstrem dan sukar diramal.

Pada 2026, banyak negara sedang memantau pembentukan keadaan cuaca panas dan kering itu yang berpotensi berkembang menjadi fenomena 'super El Nino'.

Ia boleh mendedahkan banyak kawasan di seluruh dunia kepada gelombang haba, kemarau dan kekurangan air, sekali gus menjejaskan kehidupan harian masyarakat, pertanian, pengeluaran makanan serta ekonomi global.

Model iklim kini menunjukkan tanda-tanda suhu permukaan laut yang luar biasa di Lautan Pasifik. Saintis meramalkan kekuatan 'super El Nino' berpotensi meningkatkan lagi suhu global, sekali gus menjadikan 2027 sebagai tahun paling panas dalam rekod. - Agensi