Imej ‘anti-sakau’, usaha tegas Anwar banteras rasuah tawan hati pengundi Johor - Penganalisis

Iklan
Noor Fareen berkata, usaha berterusan kerajaan dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa turut memberi keyakinan kepada rakyat terhadap komitmen pentadbiran Anwar.

KUALA LUMPUR – Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membanteras rasuah dan budaya ‘sakau’, di samping usaha memperkukuh ekonomi rakyat, dilihat mampu menjadi antara faktor penting yang mempengaruhi sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Noor Fareen Abdul Rahim berkata, rakyat Johor kini berpeluang menilai sendiri prestasi pentadbiran Kerajaan Madani yang menurutnya memberi penekanan terhadap integriti serta pembangunan ekonomi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, usaha berterusan kerajaan dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa turut memberi keyakinan kepada rakyat terhadap komitmen pentadbiran Anwar.

“Perdana Menteri telah berusaha sedaya upaya demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Setakat ini, rakyat boleh menilai sendiri segala usaha yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbirannya.

Iklan

“Kerajaan Madani juga konsisten membanteras budaya rasuah, khususnya dalam kalangan penjawat awam dan pihak berkepentingan.

Pada Sabtu, Anwar memberi amaran bahawa era budaya ‘sakau’ dan politik yang menguntungkan kroni sudah berakhir, sambil menegaskan komitmen Kerajaan Madani untuk melahirkan barisan kepimpinan yang bersih tanpa mengira kaum.

Iklan

Beliau turut menegaskan bahawa keutamaan kerajaan ketika ini ialah membersihkan sistem pentadbiran negara daripada amalan rasuah yang berakar umbi bagi memastikan setiap hasil negara dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat.

Mengulas lanjut, Dr Noor Fareen berkata, pengundi Johor tidak lagi membuat penilaian berdasarkan retorik politik semata-mata, sebaliknya menilai hasil yang diterima daripada dasar dan pelaksanaan kerajaan.

“Jika rakyat benar-benar merasai manfaat daripada dasar yang diperkenalkan kerajaan, mereka pasti akan membuat pilihan yang terbaik.

“Dengan kecanggihan teknologi dan media massa, rakyat juga mampu mendapatkan maklumat serta menilai sendiri prestasi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan calon yang berwibawa, berintegriti dan mempunyai rekod pencapaian baik turut menjadi faktor penting dalam menentukan sokongan rakyat.

“Calon yang mempunyai kredibiliti tinggi dan imej yang bersih sudah pasti menjadi pilihan pengundi. Isu rasuah merupakan perkara yang amat serius dan rakyat memerlukan pemimpin yang amanah serta berintegriti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi mengukuhkan lagi sokongan terhadap PH, Anwar perlu memastikan usaha kerajaan menangani isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan keciciran pelajar terus diperkasakan.

Menurutnya, kerajaan juga perlu meneruskan langkah menangani isu pendatang tanpa izin seiring dengan agenda membanteras rasuah.

“Pada masa sama, jentera parti perlu bekerja keras bagi memastikan mesej kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat. Akhirnya, segala-galanya bergantung kepada kebijaksanaan pengundi Johor dalam membuat pilihan,” katanya.