JOHOR BAHRU - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, Cheah Chee Hong melahirkan rasa kesal selepas sebuah papan iklan kempen miliknya dipercayai menjadi mangsa perbuatan khianat.
Beliau berkata, papan iklan besar yang terletak di Penerok, Kukup dekat Pontian itu diconteng dengan perkataan tidak sepatutnya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Papan iklan PH dirosakkan, bendera dibakar tapi kempen berjalan dengan tenang' - Fuziah
PRN Johor: Mohamad Shafwan lapor polis, papan tanda pula dikoyak
Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku pada Isnin.
"Namun, rasa hormat antara satu sama lain tidak seharusnya hilang hanya kerana perbezaan tersebut.
"Marilah kita berkempen secara matang, berhemah dan harmoni. Biar rakyat menilai melalui idea, rekod dan tawaran kepada mereka, bukannya melalui vandalisme atau provokasi,"katanya dalam hantaran di media sosial pada Selasa.
Justeru, Chee Hong mengingatkan kepada para penyokong PH supaya tidak membalas perbuatan tersebut kerana khianat seumpama itu bukan cara mereka.
"Saya menyeru agar jangan sesekali membalas dengan merosakkan papan iklan, poster atau bahan kempen mana-mana pihak. Hormatilah hak semua calon untuk berkempen dengan aman.
"Pilihan raya akan berakhir, tetapi hubungan sesama masyarakat di Kukup akan kekal. Marilah kita sama-sama menjaga adab dan menunjukkan bahawa politik boleh berlangsung dengan penuh kematangan dan saling menghormati," katanya.