Rasuah sukar dibanteras jika hanya penerima dihukum - Raja Nong Chik

Iklan
Raja Nong Chik

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil tindakan lebih tegas terhadap kedua-dua pihak yang terlibat dalam gejala rasuah iaitu pemberi dan penerima sekiranya benar-benar serius mahu mewujudkan sebuah negara yang bebas daripada jenayah berkenaan.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kelompangan dalam aspek tindakan undang-undang ketika ini dilihat menjadi punca mengapa amalan rasuah masih sukar dibanteras sepenuhnya.

Iklan
Iklan

Beliau menarik perhatian bahawa senario semasa yang kerap dipaparkan di dada akhbar dan media massa sering kali hanya menumpukan kepada hukuman terhadap golongan penerima yang majoritinya melibatkan penjawat awam serta ahli politik, kebetulan pula berstatus bumiputera.

"Akhirnya, mereka yang memberi rasuah ini langsung tidak dikenakan tindakan.

Iklan

"Berdasarkan pengalaman saya berniaga di Hong Kong dan Shanghai, kadar rasuah di sana menunjukkan penurunan yang mendadak sejak kerajaan mereka mengambil tindakan undang-undang yang adil dan tegas ke atas kedua-dua belah pihak.

"Saya yakin jika pendekatan yang sama dilaksanakan di Malaysia, amalan ini akan berkurangan kerana pihak yang berniat mahu memberi rasuah akan berasa takut untuk berbuat demikian," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keperluan memperkasakan agenda integriti dan kesesuaian model penguatkuasaan luar negara dalam membendung rasuah di negara ini.

Mengulas lanjut, Raja Nong Chik mendedahkan bahawa amalan rasuah ketika ini masih berada pada tahap yang membimbangkan dan berleluasa, sama ada di peringkat bawahan mahupun atasan.

Malah, beliau mendakwa, terdapat pihak yang berkaitan dengan isu rasuah terbaharu yang dikesan masih meneruskan budaya negatif tersebut secara terang-terangan meskipun sudah hidup dalam kemewahan.

Situasi ini, tegas beliau, memberikan kesan buruk dan tekanan yang tidak sihat kepada ekosistem usahawan muda, khususnya dalam kalangan bumiputera dan Melayu yang baharu sahaja mahu bertapak dalam dunia perniagaan.

"Golongan muda yang baharu mula berniaga ini selalunya tidak mempunyai modal atau wang untuk memberi rasuah dan hal inilah yang menjadi antara punca mengapa mereka berdepan kesukaran untuk memulakan perniagaan dengan baik.

"Namun apa yang menyedihkan, mereka yang akhirnya berjaya pula terpaksa 'mengikut' amalan (memberi rasuah) seperti ini demi kelangsungan perniagaan. Kita perlu berterus-terang bahawa budaya ini masih berleluasa dan ia merupakan satu contoh yang sangat tidak baik untuk generasi akan datang," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kerajaan dapat memperketatkan sistem penguatkuasaan dengan menghukum mana-mana syarikat atau individu yang bertindak sebagai pemberi rasuah, sekali gus menutup terus ruang kelompangan undang-undang sedia ada demi masa depan negara.