Malaysia makin menua, warga emas dijangka cecah 10.4 peratus pada 2035

Iklan
Akmal Nasrullah pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pada Selasa. Foto: Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR – Peratusan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas di negara ini dijangka meningkat daripada 8.0 peratus pada 2025 kepada 10.4 peratus pada 2035 berdasarkan unjuran data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kadar kesuburan jumlah (TFR) pula dijangka menurun daripada 1.67 kepada 1.60 dalam tempoh yang sama.

Iklan
Iklan

Justeru, katanya, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) telah mengarusperdanakan persediaan negara melalui pelaksanaan Agenda Negara Menua (ANM) dan pembangunan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB).

“Ia sebagai kerangka jangka panjang yang merangkumi lima teras utama iaitu ekonomi makro dan fiskal, pekerjaan dan kemahiran, perlindungan sosial, kesihatan sepanjang hayat serta penjagaan jangka panjang.

Iklan

“Kertas Putih Penuaan Kebangsaan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini dan akan disusuli dengan peluncuran Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan. Kerajaan mengambil serius fenomena penuaan penduduk di Malaysia," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi fenomena masyarakat menua menjelang tahun 2040 apabila 17.3 peratus penduduk Malaysia akan mencapai umur 65 tahun ke atas, termasuk dari aspek kebajikan warga emas, penjagaan kesihatan, perlindungan sosial dan sokongan kepada institusi keluarga.

Iklan

Akmal Nasrullah memaklumkan, berdasarkan data DOSM, Malaysia telah mencapai status negara menua sejak tahun 2021 apabila penduduk berumur 65 tahun dan ke atas melebihi tujuh peratus daripada jumlah penduduk.

“Trend ini dijangka berterusan berikutan penurunan kadar kesuburan dan peningkatan jangka hayat,” tambahnya.

Daripada aspek kebajikan dan kesejahteraan warga emas, beliau berkata, kerajaan terus memperkukuh Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara dengan penekanan kepada penuaan aktif, sihat dan bermaruah.

Menurutnya, tumpuan diberikan kepada peluasan program komuniti seperti Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), pengukuhan sokongan keluarga dan komuniti, pembangunan persekitaran mesra warga emas, peningkatan literasi digital serta pembelajaran sepanjang hayat.

“Pada masa yang sama, usaha meningkatkan penyertaan ekonomi warga emas yang masih produktif serta penyelidikan berkaitan penuaan penduduk akan terus diperkasa," ujar beliau.

Bagi aspek kesihatan pula, beliau menegaskan, RMK13 dan Kertas Putih Kesihatan menekankan pendekatan kesihatan sepanjang hayat yang memberi fokus kepada pencegahan penyakit, pengesanan awal, penjagaan primer dan sekunder serta penyelarasan perkhidmatan kesihatan dan sosial.

“Kerajaan juga memberi keutamaan kepada usaha mengekalkan keupayaan fungsi warga emas melalui program komuniti, intervensi kesihatan yang bersesuaian dan peningkatan akses kepada perkhidmatan sokongan.

"Untuk aspek perlindungan sosial pula, kerajaan komited memperkukuh jaringan keselamatan sosial melalui peningkatan kecukupan pendapatan persaraan, peluasan liputan perlindungan sosial, bantuan yang lebih bersasar serta pengukuhan literasi kewangan sepanjang kitaran hayat," kata beliau.

Jelasnya, langkah tersebut penting bagi memastikan warga emas mempunyai sumber pendapatan dan perlindungan yang mencukupi apabila memasuki usia persaraan.