KANGAR - Laluan feri antarabangsa yang menghubungkan Kuala Perlis dekat sini dengan Satun, Thailand bakal kembali beroperasi sepenuhnya bermula Khamis ini selepas terhenti hampir lima tahun susulan pandemik Covid-19.
Pembukaan semula laluan berkenaan dijangka menjadi pemangkin baharu kepada sektor pelancongan dan ekonomi rentas sempadan antara Perlis dan wilayah Satun yang sekian lama menantikan hubungan pengangkutan laut itu disambung semula.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, simulasi pengoperasian laluan feri Kuala Perlis-Satun dan Satun-Kuala Perlis yang diadakan pada Isnin berjaya dilaksanakan dengan lancar serta mendapat kerjasama baik daripada semua pihak terlibat.
Menurutnya, hasil simulasi tersebut menunjukkan agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa keselamatan dan pentadbiran wilayah Satun berada dalam keadaan bersedia untuk melaksanakan operasi penuh perkhidmatan berkenaan.
“Alhamdulillah, pada pagi semalam, kita dapat mengadakan simulasi pengoperasian laluan feri Kuala Perlis-Satun dan Satun-Kuala Perlis.
“Pada 9 Julai ini, kita akan melaksanakan pengoperasian penuh selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Satun, khususnya berkaitan kelancaran operasi,” katanya pada Selasa.
Jelas Abu Bakar, pembukaan semula laluan itu merupakan berita yang dinanti-nantikan oleh penduduk Perlis dan Satun yang sebelum ini bergantung kepada hubungan rentas sempadan bagi tujuan pelancongan, perniagaan dan kunjungan keluarga.
Menurutnya, kerajaan negeri berharap perkhidmatan ini mampu merancakkan semula aktiviti pelancongan serta memberi limpahan ekonomi kepada peniaga dan pengusaha tempatan.
Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri turut merancang penubuhan Jawatankuasa Segi Tiga Segenting Kra yang melibatkan Perlis, Satun dan Langkawi sebagai platform memperkukuhkan kerjasama pelancongan serantau.
Abu Bakar berkata, kerjasama tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang promosi pelancongan dan pembangunan ekonomi melibatkan ketiga-tiga destinasi yang mempunyai potensi besar sebagai tarikan pelancong domestik dan antarabangsa.
Menyentuh mengenai kadar tambang, beliau berkata, pengusaha feri pada peringkat awal menetapkan harga tiket sekitar RM55 bagi penumpang Malaysia manakala 550 baht bagi penumpang Thailand.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan pihak pengusaha bagi mendapatkan kadar tambang yang lebih berpatutan untuk menarik lebih ramai pengguna.
“Mungkin akan ada promosi atau diskaun yang ditawarkan pada peringkat awal. Perkara itu sedang diperincikan oleh pihak pengusaha.
“Apa yang lebih penting ialah pengoperasian laluan ini dapat dimulakan semula kerana rakyat telah lama menunggu,” ujarnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan perkhidmatan feri akan dimulakan dengan satu perjalanan terlebih dahulu mengambil kira faktor keadaan air di kawasan berkenaan.
Selain itu, satu laluan jeti terapung di Kuala Perlis turut dirancang untuk dibina dalam tempoh tiga minggu bagi memastikan operasi feri dapat diteruskan walaupun ketika air surut.