Polis tahan lelaki disyaki curi fius elektrik, 10 laporan diterima

Iklan
Seorang lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kes kecurian fius elektrik milik TNB di beberapa premis perniagaan sekitar Jerteh. Gambar kecil: Mohd Rozaime

​BESUT - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian fius elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di beberapa premis perniagaan di sekitar Jerteh di sini pada Isnin.

​Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, suspek yang berusia 43 tahun ditahan kira-kira jam 12.45 tengah hari hasil aduan dan maklumat diterima daripada orang awam.

Iklan
Iklan

​Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas suspek membawa kepada penemuan dan rampasan sebanyak lapan unit fius elektrik yang dipercayai berkaitan dengan kes tersebut.

​"Sehingga kini, sebanyak 10 laporan polis telah diterima daripada pemilik premis perniagaan di sekitar bandar Jerteh berkaitan kehilangan fius elektrik di luar premis masing-masing.

Iklan

​"Kejadian itu telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik serta menjejaskan operasi harian perniagaan mereka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

​Mohd Rozaime berkata, semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah.

Iklan

​Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

​Dalam pada itu, katanya, pihak polis menasihatkan pemilik premis perniagaan agar sentiasa berwaspada serta mengambil langkah keselamatan yang bersesuaian bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

​"Orang ramai juga digesa untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan bagi membantu usaha membanteras jenayah di kawasan berkenaan," ujarnya lagi.