PRN Johor: Calon santuni pengundi awal, proses berjalan lancar dan teratur

Iklan
Calon BN bagi DUN N33 Tenggaroh, Mohd Youzaimi Yusof (kiri) dan calon PH, Md Yusof Dawam hadir meninjau proses pengundian awal bagi PRN Johor ke-16 di Kem Iskandar, Mersing hari ini. Foto: Bernama

JOHOR BAHRU - Di sebalik bahang kempen yang semakin memuncak menjelang hari pengundian Sabtu ini, barisan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor meluangkan masa menyantuni anggota pasukan keselamatan yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal, hari ini.

Antara yang hadir ialah ketiga-tiga calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, iaitu Guna Balakrishnan (Pakatan Harapan-PH), Chua Jian Boon (Barisan Nasional-BN) dan Abd Mutalip Abd Rahim (Perikatan Nasional-PN) di Kem Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam.

Iklan
Iklan

Semangat yang sama diterjemahkan oleh kesemua calon DUN Tenggaroh melibatkan Muhamad Amerul Muhamad (PN), Mohd Youzaimi Yusof (BN) dan Md Yusof Dawam (PH) di pusat mengundi Kem Iskandar, Mersing.

Calon tertua PRN Johor, Lim Chin Eng (PN) pula hadir menyaksikan proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, calon PH DUN Kempas Muhammad Faezuddin Mohd Puad di Balai Polis Kempas, manakala calon BN bagi DUN Bukit Permai Datuk Jafni Md Shukor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Iklan

Selain calon, kehadiran pemimpin tertinggi pertahanan dan keselamatan negara turut meninjau pusat mengundi antaranya Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman bersama-sama Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK) Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab di Kem Iskandar.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad pula menunaikan tanggungjawab mengundi di Dewan Dato Onn, IPK Johor.

Iklan

Sementara itu, Guna menzahirkan penghargaan kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertungkus lumus memastikan kelancaran proses pengundian awal dan bekerja keras bagi memastikan setiap pengundi menikmati proses pengundian yang lancar.

Tinjauan Bernama mendapati warga pasukan keselamatan yang layak mengundi hadir menunaikan tanggungjawab mereka dalam suasana teratur dengan pematuhan prosedur ditetapkan oleh petugas SPR seawal 8 pagi.

Meskipun hujan turun seketika di beberapa lokasi, keadaan itu tidak menghalang anggota keselamatan untuk hadir mengundi secara berperingkat.

Pengundian awal hari ini melibatkan 20,607 pengundi yang terdiri daripada 8,544 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 12,063 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasangan masing-masing.

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan pengundian bagi 2.7 juta pemilih ditetapkan pada Sabtu ini. - Bernama