KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa terdapat catatan minit Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam surat sokongan bagi lima syarikat berhubung Projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor.
Tengku Zafrul, 53, berkata berdasarkan minit itu, lima syarikat berkenaan ialah MZ Hakujaya Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Fastcoll Corporation Sdn Bhd, Permata Rebana Sdn Bhd dan JM Letrik Sdn Bhd.
"Catatan minit tersebut adalah dari Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin yang menyatakan ‘YBMK, saya bersetuju ia dibuat secara PreQ’ serta ditandatangani oleh Muhyiddin bertarikh 3 Februari 2021.
"Berdasarkan minit ini, syarikat-syarikat yang disenaraikan pada surat Pejabat Perdana Menteri bertarikh 3 Februari 2021 perlu dibuat perolehan secara prakelayakan oleh pihak Kementerian Kewangan dan JKR,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.
Saksi pendakwaan ke-11 berkata, beliau selaku Menteri Kewangan menganggap minit itu adalah satu arahan kepada beliau memandangkan Muhyiddin adalah Perdana Menteri pada ketika itu.
"Saya sahkan tidak mengenali pemilik-pemilik syarikat yang disenaraikan dalam surat ini. Saya sahkan pemilik atau wakil syarikat-syarikat dalam senarai surat ini tidak pernah datang berjumpa saya secara bersemuka ataupun melalui surat untuk memohon projek ini. Saya juga tiada pengetahuan bagaimana syarikat-syarikat ini tahu berkenaan wujudnya projek yang dimohon oleh mereka ini kepada Tan Sri Muhyiddin,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Muhyiddin juga tidak pernah memaklumkan bahawa beliau dan Bersatu ada menerima sumbangan daripada syarikat-syarikat yang disenaraikan.
"Saya sahkan saya tidak pernah menerima apa-apa sumbangan daripada syarikat-syarikat yang disenaraikan dalam surat ini. Saya tiada pengetahuan syarikat-syarikat ini pernah memberi sumbangan kepada mana-mana parti politik,” katanya.
Beliau berkata, setelah penilaian dibuat hanya syarikat melepasi penilaian oleh Jawatankuasa Penilaian Kontraktor di Kementerian Kewangan sahaja yang layak untuk menyertai tender prakelayakan di JKR.
Katanya, setelah pihak JKR selesai membuat tender prakelayakan terhadap syarikat-syarikat, JKR akan membuat permohonan semula kepada Kementerian Kewangan untuk dimuktamadkan pelantikan kepada syarikat yang memenangi tender dibuat.
Tengku Zafrul berkata, syarikat Nepturis Sdn Bhd telah dianugerahkan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor semasa proses perolehan tender prakelayakan dijalankan oleh pihak JKR.
Saksi itu berkata beliau tidak pernah mendapat arahan daripada Muhyiddin untuk membatalkan penganugerahan projek tersebut kepada syarikat Nepturis Sdn. Bhd.
"Sepanjang program Jana Wibawa berjalan, semua syarikat kontraktor dianugerahkan projek adalah syarikat dicadangkan Pejabat Perdana Menteri sahaja. Pihak Kementerian Kewangan hanya berperanan sebagai pelaksana dari segi penilaian dan juga memuktamadkan lantikan syarikat setelah melepasi syarat-syarat dan peraturan yang berkuat kuasa.
"Perdana Menteri tidak mempunyai punca kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu projek dilaksanakan secara rundingan terus atau tender prakelayakan. Kuasa untuk meluluskan kaedah perolehan tersebut adalah terletak pada Menteri Kewangan," katanya.
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok. - Bernama