Dialog Tahunan Malaysia-Thailand fokus hubungan dagang, isu sempadan - Mohamad

Iklan
Mohamad

JOHOR BAHRU – Kunjungan Perdana Menteri Thailand ke Malaysia yang dijadualkan pada September depan bertujuan menghadiri dialog tahunan antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dialong itu dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dagang serta menyelesaikan beberapa isu sempadan yang masih tertangguh antara Malaysia dan Thailand.

Iklan
Iklan

Menurutnya, acara tahunan itu sudah lama berlangsung secara berkala dan kali ini Malaysia akan menjadi tuan rumah.

"Ada banyak perkara yang perlu kita rundingkan yang masih lagi belum selesai, terutama dari segi hubungan dagang. Ada beberapa perkara tentang logistik yang perlu kita selaraskan. 

Iklan

"Perdagangan ini asasnya ialah logistik. Jika asas logistik tersebut tak dapat diselaraskan, maka dia akan merencatkan hubungan dagang kita," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program makan tengah hari bersama pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram di Ulu Tiram pada Ahad.

Iklan

Mohamad berkata, selain perdagangan, isu persempadanan darat turut menjadi antara fokus perbincangan.

"Kita tidak mempunyai masalah dengan Thailand. Tidak ada pencerobohan di antara mana-mana pihak. Cumanya kita sudah ukur sempadan tapi ada sedikit lagi yang tinggal, yang nak kita ukur halus untuk kita tanda sempadan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan memberi perhatian serius terhadap kawalan sempadan bagi membanteras aktiviti penyeludupan menggunakan laluan tidak sah atau ‘lorong tikus’ di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, pelbagai pos kawalan telah diwujudkan dan dikendalikan oleh agensi penguat kuasa termasuk polis, tentera serta pasukan keselamatan sempadan.

"Kita nak jaga sempadan kita, kerana banyak lorong tikus yang dijadikan sebagai laluan oleh penyeludup, baik ke Thailand ataupun dari Thailand ke Malaysia.

"Banyak pos kawalan telah pun didirikan, ada yang diurus oleh pengawal sempadan,  polis, dan juga tentera," katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut meneliti penyelarasan peranan antara agensi keselamatan supaya penguatkuasaan lebih berkesan di kawasan sempadan.

"Kita ada bincang dalam Kabinet sama ada boleh diselaraskan semua pasukan ini menjadi sebagai satu pasukan yang mempunyai kuasa yang sama. Kerana tentera tak boleh menahan orang, cuma polis saja boleh menahan. 

"Jadi kalau tentera mengawal sempadan, dia tak boleh tahan, jadi tak guna juga kan? Ini sedang diurus oleh Majlis Keselamatan Negara, yang pentingnya sempadan kita tidak bolos, tidak menjadi lorong-lorong untuk menyelundup antara kedua-dua negara," katanya.