EU intai potensi ekonomi hijau, digitalisasi di Terengganu

Iklan
Daerr bersama Ahmad Samsuri ketika menghadiri sesi taklimat di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu pada Isnin.

KUALA TERENGGANU – Kesatuan Eropah (EU) sedia memperkukuh jalinan kerjasama strategik yang lebih erat dengan Malaysia menerusi hubungan terus dengan kerajaan di peringkat negeri.

​Duta EU ke Malaysia, Rafael Daerr berkata, langkah memperluaskan hubungan di luar Kuala Lumpur itu penting bagi meneroka potensi baharu yang mampu memberikan impak positif kepada kedua-dua belah pihak.

Iklan
Iklan

​Menurut beliau, struktur pentadbiran EU yang dianggotai 27 negara mempunyai persamaan dengan sistem persekutuan di Malaysia, sekali gus menjadikan kerjasama di peringkat negeri atau wilayah amat signifikan.

​"Hubungan antara Malaysia dan EU sememangnya sudah sedia penting, malah Malaysia merupakan rakan perjanjian terbesar EU yang menawarkan peluang ekonomi yang luas," katanya.

Iklan

​Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Di Wisma Darul Iman, di sini pada Isnin.

Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dengan Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Chendering, di sini.

Iklan

​Mengulas lanjut mengenai sektor ekonomi, Daerr menjelaskan, selain sektor semikonduktor, elektronik, peralatan industri dan petrokimia yang sudah matang, EU kini melihat potensi besar dalam bidang mineral serta bahan mentah kritikal, ekonomi hijau dan pendigitalan di Terengganu.

​Katanya, pembentangan komprehensif oleh kerajaan negeri mengenai aktiviti dan peluang pelaburan di Terengganu telah membuka mata delegasi EU yang membawa bersama perusahaan serta teknologi berkaitan.

​"Ketika ini terdapat lebih 2,000 syarikat Eropah beroperasi di Malaysia termasuk di Terengganu. Falsafah pelaburan kami bukan sekadar membawa masuk modal dan pekerja asing, tetapi menyumbang kepada sosioekonomi tempatan serta meningkatkan modal insan.

​"Sebagai contoh, syarikat gergasi seperti Infineon (dari Jerman) mempunyai kira-kira 14,000 pekerja di Malaysia, di mana 99 peratus daripada tenaga kerjanya termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) adalah rakyat tempatan. Ini adalah kisah kejayaan perkongsian sebenar yang menguntungkan kedua-dua pihak," ujarnya.

​Dalam pada itu, beliau turut menggariskan beberapa bidang fokus baharu termasuk teknologi hijau yang merangkumi kecekapan tenaga serta pembangunan ekosistem Kecerdasan Buatan (AI) yang berteraskan perlindungan data dan keselamatan manusia.

​Bagi menyokong pertumbuhan industri tersebut, katanya, EU komited menyumbang dalam pembangunan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan modal insan menerusi program pertukaran akademik antarabangsa.

​"Kami mahu mewujudkan kaedah yang lebih sistematik untuk menyediakan generasi muda dengan masa depan yang menggabungkan kerja praktikal dan pendidikan.

​"Malah ketika ini, sekurang-kurangnya dua projek penyelidikan di bawah Horizon Europe yang melibatkan universiti di Terengganu telah pun berjalan, khususnya dalam bidang akuakultur dan biodiversiti," tambah beliau.