Penilaian teknikal MINDEF, TLDM pilih pengganti NSM dijangka selesai akhir bulan ini

Iklan
Mohamed Khaled ketika membentangkan Isu Pembatalan Lesen Eksport Sistem Naval Strike Missile (NSM) pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penilaian teknikal peringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi memilih sistem peluru berpandu sebagai pengganti sistem Naval Strike Missile (NSM) untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan diselesaikan pada akhir bulan ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, TLDM dan MINDEF sedang menjalankan penilaian terhadap beberapa sistem peluru berpandu surface-to-surface daripada pengeluar peralatan asal (OEM) oleh negara-negara berpotensi bagi menggantikan sistem NSM, yang dibatalkan lesen eksportnya oleh Norway. 

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tawaran serta cadangan daripada syarikat-syarikat berkenaan akan dinilai secara komprehensif berdasarkan keperluan operasi TLDM.

"Insya-ALLAH sekiranya semua berjalan lancar, penilaian teknikal di peringkat TLDM dan Kementerian Pertahanan siap pada akhir Julai ini sebelum diangkat ke peringkat penilaian seterusnya," kata beliau ketika sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat pada Isnin. 

Iklan

Mohamed Khaled berkata, keputusan kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem NSM kepada Malaysia secara unilateral itu bukan sekadar melibatkan kontrak perolehan pertahanan, malah menyentuh kepentingan strategik negara, penggunaan wang rakyat serta kesiagaan pertahanan negara.

Beliau menjelaskan, proses perolehan NSM itu bermula sejak 2011 sebelum kontrak perolehan bernilai €128.7 juta dimeterai pada 2018 bagi melengkapkan keupayaan kapal-kapal LCS, manakala satu lagi kontrak bernilai €9.19 juta dimeterai pada 2023 bagi dua set pelancar untuk KD Jebat dan KD Lekiu, menjadikan jumlahnya kira-kira RM642.6 juta (€137.91 juta).

Iklan

Katanya, Malaysia telah memenuhi semua obligasi kontrak, termasuk membuat pembayaran sebanyak  €129.8 juta (kira-kira RM600 juta), bersamaan lebih 95 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak, sebelum penghantaran peluru berpandu itu dijadualkan pada Mac 2026. 

Namun, pada 4 Februari lepas, syarikat Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) memaklumkan kerajaan Norway menggantung lesen eksport bagi kedua-dua kontrak berkenaan tanpa memberikan alasan, sebelum pembatalan kekal dimaklumkan pada April atas alasan Norway hanya mengeksport sistem berkenaan kepada negara anggota NATO dan sekutunya.

"Ini sebenarnya satu tindakan yang mencalar prinsip perjanjian, komitmen dan kepercayaan antarabangsa. Lebih-lebih lagi, perjanjian yang dimeterai adalah perjanjian berdasarkan kepercayaan dan persefahaman dua negara untuk melengkapi keperluan pertahanan.

"Tindakan Norway ini meremehkan dan memandang rendah kepentingan Kerajaan Malaysia dalam hubungan dua hala. Kerajaan Norway sama sekali tidak menghormati semangat persahabatan dan kerjasama yang Malaysia telah tunjukkan selama bertahun-tahun. Kerajaan Malaysia sememangnya amat kesal dan kecewa dengan tindakan Norway ini," katanya. 

Mohamed Khaled berkata, walaupun ketiadaan NSM mengehadkan keupayaan peperangan anti-kapal LCS yang hanya boleh menggunakan meriam 57 milimeter dengan jarak tembakan sekitar 10 kilometer, perkembangan itu tidak menjejaskan jadual penyerahan kapal LCS kepada TLDM.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, Angkatan Tentera Malaysia juga terus melaksanakan operasi mempertahankan perairan, ruang udara dan sempadan negara seperti biasa sementara kementerian mencari penyelesaian terbaik bagi memulihkan keupayaan berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan mempertahankan hak dan kepentingan Malaysia, apabila MINDEF mengemukakan notis tuntutan kepada KDA berjumlah €226.1 juta atau kira-kira RM1.05 bilion, merangkumi pembayaran yang telah dibuat serta kerugian langsung dan tidak langsung akibat pembatalan lesen eksport itu.

Mohamed Khaled berkata, berdasarkan nasihat Jabatan Peguam Negara, kerajaan akan terlebih dahulu berusaha mendapatkan penyelesaian secara baik dengan syarikat berkenaan menerusi rundingan yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan Ogos ini sebelum mempertimbangkan tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, episod berkenaan membuktikan kebergantungan yang tinggi kepada rantaian bekalan luar negara membawa risiko strategik kepada pertahanan negara.

Sehubungan itu, katanya kerajaan sedang memperkukuh pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) bagi meningkatkan kapasiti industri pertahanan tempatan, termasuk keupayaan menghasilkan roket dan peluru berpandu agar Malaysia lebih berdaya tahan serta mampu mempertahankan kedaulatannya secara berdikari pada masa hadapan.- Bernama