Negara anggota setuju kekal misi UNIFIL, MALBATT terus bertugas hingga November - Menteri Luar

Iklan
Mohamad bercakap kepada pemberita selepas makan tengah hari bersama pengundi DUN Tiram, Johor Bahru pada Isnin.

JOHOR BAHRU – Semua negara anggota yang menyertai misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di selatan Lubnan, bersetuju untuk mengekalkan penempatan pasukan masing-masing sehingga tamat mandat dijadualkan pada November ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, perkara itu telah dibincangkan di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan setakat ini tiada keputusan untuk menamatkan penugasan lebih awal.

Iklan
Iklan

Katanya, sebarang keputusan berhubung kedudukan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 adalah tertakluk kepada pertimbangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

"Isu MALBATT ini telah dibincangkan di peringkat PBB dan semua negara ahli nampaknya bersetuju untuk mengekalkan tentera mereka di situ sehingga tamat mandat yang berakhir pada November ini.

Iklan

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada Kementerian Pertahanan. Apa juga keputusan kementerian itu akan dibawa ke Kabinet dan sekiranya dipersetujui.

"Kementerian Luar akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya," katanya pada sidang media selepas makan tengah hari bersama pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram di sini pada Isnin.

Iklan

Menurut Mohamad, keadaan semasa anggota MALBATT di selatan Lubnan masih terkawal kerana mereka tidak ditempatkan di barisan hadapan kawasan konflik.

Sebaliknya, anggota Malaysia kini berada di kawasan belakang dan tidak lagi menjalankan rondaan demi mengutamakan aspek keselamatan, tambahnya.

"Nak dironda pun tak ada apa-apa nak dironda lagi kan? Kita sebagai tentera pengaman, tempat itu pun bukanlah tempat aman, sudah jadi medan perang kan? Jadi kita tak ada apa yang nak kita ronda.

"Jadi saya minta supaya anggota tentera kita, anggota MALBATT kita di Lebanon mengutamakan keselamatan dulu sehinggalah apa jua keputusan ataupun sehinggalah tamat mandat Bangsa-Bangsa Bersatu pada hujung tahun ini," katanya.

Mengulas cadangan membawa pulang anggota MALBATT lebih awal, Mohamad menjelaskan tindakan itu tidak praktikal kerana akan melibatkan kos yang amat tinggi.

Katanya, lebih wajar anggota terbabit kekal sehingga tamat mandat PBB sebelum proses pengunduran dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan UNIFIL.

​"Kita tak boleh bawa keluar, kalau kita ambil tindakan sendiri untuk bawa anggota kita keluar, dia akan menelan belanja yang amat besar.

"Jadi kalau sampai habis mandat nanti, di bawah payung mandat PBB akan mengeluarkannya dan ke mana tempat mereka akan dikeluarkan, daripada situ nantilah tentera kita ataupun anggota kita akan balik ke Malaysia, Insya-ALLAH," katanya.