RANTAU PANJANG – Tindakan seorang lelaki warga Thailand berpatah balik ke negara asal menggunakan pangkalan haram untuk membeli barang buat isterinya selepas mengecop pasport di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang mengundang padah apabila dia ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Ahad.
Lelaki berusia 30 tahun itu menaiki bot dari tebing Thailand kira-kira jam 6 petang sebelum mendarat di pangkalan haram Azizah.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota Task Force Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang menjalankan rondaan mengesan suspek menaiki bot dari Thailand ke Malaysia melalui laluan tidak sah.
Menurut beliau, pemeriksaan badan tidak menemukan barangan menyalahi undang-undang, namun semakan terhadap pasport suspek mendapati dokumen perjalanan itu mempunyai cop kemasukan yang sah ke Malaysia melalui ICQS Rantau Panjang pada hari sama.
"Dia mendakwa pulang ke sana bagi membeli beberapa barangan untuk diberikan kepada isterinya sebelum kembali semula ke Malaysia melalui pangkalan haram," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Ahmad Radzi memberitahu, siasatan turut mendapati suspek bekerja di sebuah kedai makan di Gambang, Kuantan sejak hampir dua tahun lalu dan memasuki Malaysia untuk tujuan bekerja.
Beliau berkata, suspek yang merupakan lelaki Melayu warga Thailand kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
"Suspek telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
"PGA akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan bagi mengekang kegiatan rentas sempadan secara haram serta membanteras sebarang aktiviti jenayah di kawasan sempadan negara," katanya.