KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menghadiahkan tajaan pembukaan akaun tabungan emas bernilai RM100 kepada bayi yang dilahirkan antara 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026 menerusi Skim Cakna Aulad.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat negeri, Datuk Rohani Ibrahim berkata, skim yang diperkenalkan sejak 2019 itu merupakan antara inisiatif kebajikan kerajaan negeri bagi meraikan kelahiran anak-anak Kelantan, di samping memupuk budaya menabung dalam kalangan ibu bapa sejak awal usia anak.
"Sehingga kini, seramai 8,955 ibu dan anak telah menerima manfaat Skim Cakna Aulad bagi tempoh 2019 hingga 2025 dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM777,650.
"Bagi tahun 2026, seramai 1,350 bayi disasarkan menerima manfaat tajaan pembukaan Akaun Tabungan Emas bernilai RM100, membabitkan 30 penerima bagi setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) di seluruh Kelantan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ujar beliau, bantuan itu bukan sekadar simbol penghargaan kerajaan negeri kepada keluarga yang menerima kelahiran baharu, malah diharap menjadi pemangkin kepada ibu bapa merancang kewangan anak-anak dengan lebih sistematik sejak awal.
Menurutnya, bagi melayakkan permohonan, bayi mestilah dilahirkan di Kelantan serta mengemukakan salinan kad pengenalan ibu dan bapa, salinan MyKid atau sijil kelahiran bayi serta dokumen sokongan yang diperlukan.
"Permohonan yang tidak lengkap atau mengandungi maklumat meragukan tidak akan diproses," katanya.
Beliau memberitahu, borang permohonan boleh diperoleh di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing sebelum dihantar kepada Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) selewat-lewatnya pada 20 Julai ini.
Katanya, pelaksanaan Skim Cakna Aulad 2026 dijayakan U-KeKWa dengan kerjasama NGO Beliawanis DUN serta Kelantan Gold Trade (KGT).
Rohani turut menggesa ibu bapa yang mempunyai bayi dalam tempoh kelayakan supaya tidak melepaskan peluang memohon skim tersebut kerana ia mampu menjadi permulaan kepada jaminan kewangan anak-anak sejak awal kehidupan.