KUALA LUMPUR – Usaha membina Malaysia bebas rasuah tidak hanya bermula ketika seseorang memasuki alam pekerjaan semata-mata sebaliknya ia perlu dipupuk sejak di bangku sekolah dan institusi pendidikan.
Ketua Unit Integriti, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Shuhaimi Man berkata, bagi memenuhi usaha tersebut, pihaknya meneruskan Program Jelajah Antirasuah yang kini telah memasuki tahun ke empat.
Menurutnya, program tahunan yang dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Rasuah Busters itu memainkan peranan menyampaikan mesej integriti melalui pendekatan interaktif dan dekat dengan golongan muda.
"Program ini bukan sekadar memenuhi fungsi organisasi tetapi merupakan komitmen berterusan kami dalam membudayakan integriti sebagai asas kepada setiap tindakan dan keputusan.
"Tujuan utamanya adalah untuk memperbudayakan integriti bukan sahaja dalam kalangan warga MARA, malah kepada semua pihak berkepentingan termasuk para pelajar. Integriti perlu dibina sejak awal kerana mereka ialah generasi yang akan mencorakkan masa depan negara," katanya kepada Rasuah Busters.
Jelajah Antirasuah MARA akan bermula pada 8 Julai ini melibatkan beberapa institusi pendidikan MARA merangkumi zon Tengah, Pantai Timur dan Selatan.
Tambah Shuhaimi, pendidikan awal mengenai integriti amat penting kerana pembentukan sahsiah tidak berlaku dalam tempoh yang singkat.
Ujarnya, generasi muda perlu dididik dengan nilai yang betul agar mereka membesar sebagai individu yang jujur, amanah dan bertanggungjawab.
Menurut beliau, sekiranya usaha itu dilakukan secara konsisten, ia mampu menyumbang kepada pengurangan kes rasuah dan salah guna kuasa pada masa hadapan.
"Sebagai agensi yang berperanan meningkatkan taraf sosioekonomi Bumiputera, MARA memerlukan tahap kepercayaan yang tinggi daripada masyarakat.
"Kepercayaan itu hanya dapat dipertahankan sekiranya setiap warga organisasi mengamalkan integriti dalam melaksanakan amanah yang dipikul," katanya.
Ujarnya lagi, impak MARA terhadap pembangunan negara amat besar, ramai tenaga kerja profesional di Malaysia merupakan individu yang pernah menerima manfaat daripada MARA sama ada melalui pendidikan, latihan mahupun pembiayaan.
Selain memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik dan kemahiran teknikal, ujar Shuhaimi, MARA turut berusaha melahirkan graduan yang mempunyai jati diri dan integriti yang tinggi.
Ujarnya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk program pembangunan sahsiah, pendidikan agama dan pengukuhan nilai melalui pelbagai aktiviti di institusi pendidikan MARA.
"Jelajah Antirasuah ini pula menjadi pelengkap kepada usaha tersebut dengan memberikan pendedahan secara langsung mengenai kepentingan amanah, etika dan tanggungjawab dalam kehidupan.
"Pelajar hari ini ialah pemimpin negara pada masa hadapan. Sebab itu mereka perlu dibentuk dengan acuan yang betul supaya bukan sahaja cemerlang dalam ilmu, tetapi juga mempunyai integriti yang tinggi," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa syukur kerana program yang dijalankan mendapat sambutan dan maklum balas yang amat menggalakkan daripada peserta di lapangan.
Jelasnya, pendekatan yang dibawa Rasuah Busters disifatkan berjaya menarik minat peserta serta memudahkan mesej integriti difahami pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau berharap kerjasama strategik antara MARA dan Rasuah Busters dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan usaha membudayakan integriti terus diperkasakan.
"Integriti bukan sekadar dasar atau slogan. Ia ialah budaya yang perlu dipupuk secara berterusan. Apabila generasi muda dibentuk dengan nilai yang betul hari ini, negara akan memperoleh pemimpin yang amanah pada masa hadapan," katanya.