Berebut parkir pasar raya, warga emas maut ditembak

Iklan
Wanita itu mendakwa bertindak sedemikian bagi mempertahankan diri. Foto Local News

WASHINGTON – Seorang lelaki warga emas maut selepas ditembak seorang wanita dalam kejadian di kawasan parkir sebuah pasar raya Walmart di North Lauderdale, Florida, Amerika Syarikat (AS), dipercayai berpunca daripada pertengkaran mengenai ruang parkir.

Mangsa dikenal pasti sebagai Bart Diguglielmo dari Lauderhill.

Iklan
Iklan

Menurut Pejabat Sheriff Broward (BSO), kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari waktu tempatan pada Selasa di kawasan parkir Walmart di West McNab Road.

Pasukan penyelamat yang tiba di lokasi menemui Diguglielmo mengalami kecederaan akibat tembakan sebelum dikejarkan ke Pusat Perubatan Broward Health.

Iklan

Bagaimanapun, mangsa berusia 62 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Siasatan awal mendapati mangsa dan seorang wanita terlibat dalam pertengkaran berhubung ruang parkir sebelum insiden tembakan berlaku.

Iklan

Menurut BSO, wanita berkenaan tidak melarikan diri, sebaliknya kekal di lokasi kejadian dan mendakwa dia melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Sehingga kini, identiti wanita terbabit masih belum didedahkan dan tiada pertuduhan dikenakan sementara siasatan diteruskan.

Kes itu akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya Daerah Broward bagi menentukan sama ada tindakan jenayah akan diambil terhadap wanita berkenaan.

Sementara itu, anak perempuan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Amanda menyifatkan bapanya sebagai seorang yang baik dan pernah berkhidmat dalam tentera.

Dalam temu bual bersama media tempatan, Amanda berkata, tiada siapa yang sepatutnya kehilangan nyawa hanya disebabkan pertikaian berkaitan ruang parkir.

Beliau turut menolak dakwaan yang tular di media sosial bahawa bapanya cuba melakukan gangguan terhadap wanita berkenaan.

"Saya mahu ayah dikenang sebagai dirinya yang sebenar, bukan berdasarkan pelbagai spekulasi yang tersebar," katanya.

Amanda turut mendedahkan bahawa beliau dan bapanya pernah terputus hubungan selama beberapa tahun, namun kedua-duanya sedang berusaha memperbaiki hubungan mereka sebelum tragedi itu berlaku.

Rakaman video kejadian yang diperoleh media tempatan kini menjadi sebahagian daripada bahan bukti yang sedang diteliti penyiasat bagi menentukan kronologi sebenar insiden berkenaan. -Agensi