SURABAYA – Seorang wanita didakwa di mahkamah pada Jumaat, selepas dipercayai menyewa sebuah jentera berat jenis ekskavator untuk merobohkan sebuah rumah rasmi kerajaan milik Pejabat Wilayah Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais (DJBC) Jawa Timur I, setelah mendakwa bangunan itu telah dibelinya.
Tertuduh, Murnita Triwidyaning (MT), bagaimanapun berdepan pertuduhan selepas siasatan mendapati rumah yang dirobohkan itu sebenarnya merupakan aset kerajaan di bawah Kementerian Kewangan Indonesia.
Menurut Pendakwa Raya, Hajita Cahyo Nugroho, kejadian bermula pada Ogos 2025 apabila MT menghubungi rakannya untuk mendapatkan maklumat mengenai penyewaan ekskavator.
Selepas memperoleh nombor penyedia perkhidmatan melalui aplikasi WhatsApp, dia menyewa sebuah jentera berat itu untuk dihantar ke sebuah rumah di Jalan Asemrowo Kali No. 23, Surabaya.
Pendakwa berkata, MT didakwa memilih untuk melakukan perobohan pada waktu malam, sekitar jam 8 malam pada 27 Ogos 2025.
"Sebaik operator ekskavator tiba, tertuduh memecahkan mangga pagar menggunakan tukul sebelum mengarahkan operator merobohkan pagar dan dinding rumah menggunakan ekskavator sehingga hampir keseluruhan bangunan musnah, kecuali bahagian garaj," katanya ketika membacakan pertuduhan di Mahkamah Daerah Surabaya.
Selepas kerja perobohan selesai, MT didakwa membayar kos sewaan jentera itu sebanyak 7 juta rupiah (RM1,583) kepada operator terbabit.
Operator berkenaan kini masih dikesan pihak berkuasa dan disenaraikan sebagai Daftar Pencarian Saksi (DPS).
Tindakan MT merobohkan rumah itu menarik perhatian Ketua Rukun Tetangga (RT), Nanang Sudibyo, yang datang ke lokasi selepas mendapati kerja-kerja berkenaan dijalankan tanpa kebenaran.
Ketika ditegur, MT didakwa memaklumkan bahawa rumah rasmi tersebut telah dibelinya.
Namun, Nanang yang berasa curiga menghubungi pihak Kastam Tanjung Perak untuk mendapatkan pengesahan.
Siasatan kemudian mendapati rumah berkenaan ialah aset kerajaan milik Pejabat Wilayah Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais (DJBC) Jawa Timur I.
Pendakwa memaklumkan tindakan MT mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dianggarkan 537.36 juta rupiah (RM121,955).
Susulan itu, MT didakwa mengikut pertuduhan alternatif di bawah Kanun Keseksaan Indonesia atas kesalahan memusnahkan bangunan dan merosakkan harta benda milik orang lain.