SHAH ALAM - Dasar pengambilan atau kemasukan penuntut antarabangsa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini tidak menjejaskan peluang pelajar tempatan seperti didakwa pihak tertentu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, dakwaan mengatakan dasar yang dibuat itu mengkhianati pelajar tempatan jelas tidak tidak berasas, mengelirukan dan gagal menggambarkan realiti sebenar sistem pendidikan tinggi negara.
Sebaliknya kementerian itu itu menjelaskan, peluang yang diberikan kepada pelajar antarabangsa tersebut merupakan antara strategi penting dalam memperkukuh daya saing institusi pengajian tinggi negara di peringkat global.
"Kenyataan sedemikian bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, malah menjejaskan reputasi institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia di mata dunia. Agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi bukanlah dasar baharu atau dasar yang diwujudkan secara ‘ad hoc’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah sebelum ini dilapor mempersoalkan pengagihan tempat yang sepatutnya memberi keutamaan kepada anak tempatan susulan dakwaan terdapat 32,546 pelajar dari China sedang mengikuti pengajian di IPTA di negara ini.
Beliau mendakwa, angka tersebut mewakili kumpulan pelajar antarabangsa terbesar berbanding jumlah keseluruhan 56,565 orang yang ditempatkan di 20 universiti awam.
Mengulas lanjut, KPT memaklumkan, Malaysia kini menjadi destinasi pilihan pelajar daripada lebih 180 negara hasil pengiktirafan terhadap kualiti program akademik, kecemerlangan penyelidikan, kepakaran tenaga akademik serta kos pendidikan yang kompetitif.
Selain itu, kementerian berkenaan turut menjelaskan bahawa sistem universiti awam mempunyai dua kategori utama pengajian iaitu prasiswazah dan pascasiswazah yang mempunyai objektif serta mekanisme kemasukan berbeza.
Katanya, bagi program prasiswazah, keutamaan diberikan kepada pelajar tempatan manakala pengambilan pelajar antarabangsa dilaksanakan menerusi konsep 'over and above', iaitu selepas kuota arus perdana dipenuhi.
"Program pascasiswazah pula terbuka kepada pelajar tempatan dan antarabangsa berdasarkan kelayakan akademik serta kapasiti penyelidikan universiti.
"Justeru, menggabungkan jumlah pelajar prasiswazah dan pascasiswazah bagi mewujudkan persepsi bahawa pelajar antarabangsa mengambil tempat pelajar tempatan adalah tidak tepat dan mengelirukan," katanya.
KPT dalam masa sama turut menjelaskan bahawa pelajar antarabangsa membayar yuran pengajian penuh tanpa menerima subsidi kerajaan, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan kewangan universiti dan penambahbaikan kemudahan pembelajaran serta penyelidikan.
Selain itu, kehadiran mereka turut mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, memperkukuh interaksi silang budaya dan memberi pendedahan bertaraf antarabangsa kepada mahasiswa tempatan.
Dalam perkembangan sama, KPT memaklumkan China terus menjadi penyumbang terbesar pelajar antarabangsa di Malaysia dengan seramai 32,549 pelajar mengikuti pengajian di universiti awam.
Sehubungan itu, KPT menegaskan kerajaan akan terus memastikan kepentingan, kebajikan dan akses pendidikan pelajar tempatan kekal menjadi keutamaan, di samping melaksanakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi secara strategik dan bertanggungjawab.
"Kita akan terus memastikan universiti negara kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa tanpa sesekali mengorbankan hak, peluang dan masa depan pelajar Malaysia," katanya.