Empat lagi pesawat FA-50M tiba April 2027 – Khaled Nordin

Iklan
Mohamed Khaled (tengah) melancarkan Sekolah Angkat MADANI - Malaysia Defence Intelligence Organisation (MDIO) di Sekolah Kebangsaan (SK) Panchor, pada Sabtu.

KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan (MINDEF) dijangka menerima empat lagi pesawat tempur ringan FA-50M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada April tahun depan, sebelum berlangsungnya Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2027.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketibaan empat pesawat yang dibangunkan Korea Aerospace Industries (KAI) itu menjadikan keseluruhan enam pesawat FA-50M diterima setakat ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, MINDEF sudah menerima dua pesawat pertama pada penghujung Oktober lalu, manakala baki pesawat akan diterima secara berperingkat sehingga Mac 2028.

“MINDEF telah terima dua (pesawat berkenaan) pada akhir bulan Oktober.

Iklan

“Sebelum LIMA kita akan ada (terima) empat (pesawat). Selepas itu kita akan terima secara berfasa keseluruhan 18 pesawat pada Mac 2028,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Peluncuran Sekolah Angkat MADANI-Malaysia Defence Intelligence Organisation (MDIO) di Sekolah Kebangsaan (SK) Panchor, di sini, pada Sabtu.

Iklan

Mohamed Khaled berkata, kesemua 18 pesawat FA-50M itu akan ditempatkan di Kuantan, Pahang, memandangkan pesawat Hawk masih digunakan ketika ini.

Katanya, penempatan pesawat tempur ringan berkenaan pada masa hadapan akan mengambil kira perkembangan operasi pesawat Hawk yang dijangka ditamatkan pada 2028.

“Kesemua 18 pesawat ini akan berpangkalan di Kuantan, Pahang sebab pesawat Hawk masih ada lagi.

“Apabila pesawat Hawk dikomersialkan, mereka akan fikirkanlah (untuk langkah seterusnya) meletakkan pesawat tempur ringan dan sebagainya,” katanya.

Pada 30 Oktober lalu, Mohamed Khaled menerima dua pesawat tempur ringan FA-50M pertama yang diperoleh TUDM, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.

Kedua-dua pesawat berkenaan tiba di Pangkalan Udara TUDM Labuan selepas diterbangkan dari Sacheon, Korea Selatan.

Sebanyak 18 pesawat FA-50M diperoleh menerusi program Pesawat Latihan Tempur dan Pesawat Tempur Ringan (FLIT-LCA) bagi memenuhi keperluan TUDM, termasuk perancangan menamatkan operasi pesawat Hawk pada 2028.