PONTIAN – UMNO Johor menganggap tindakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menghadiri ceramah Pakatan Harapan (PH) adalah hak peribadinya selepas tidak lagi menjadi ahli parti itu.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kehadiran Mohd Puad ke program PH tidak memberi kesan besar kepada UMNO kerana beliau yakin ahli parti kekal setia kepada perjuangan parti.
Katanya, sekiranya ada impak sekali pun, ia mungkin hanya melibatkan sebahagian kecil pengundi atas pagar dan bukannya penyokong tegar UMNO.
“Orang-orang UMNO kekal dengan UMNO, tidak akan mengikut apa yang telah dilakukan oleh Mohd Puad setelah kecewanya anaknya tidak dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Benut,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Naga di sini pada Ahad.
Sebelum itu Mohd Puad yang keluar UMNO pada minggu lalu, dilihat menghadiri sebuah program PH di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru semalam.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu sebelum ini mengeluarkan kenyataan beliau memberi sokongan kepada calon PH di DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, Mohamad Yazid Bakri.
Pada program Dialog Terbuka Belia Johor di Ulu Tebrau semalam, Mohd Puad dilihat bersalaman dan berpelukan dengan Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu Ahmad yang juga Ahli MKT UMNO, tidak menyangka begitu ramai yang hadir ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan DUN Rengit.
“Yang hadir, bukan sahaja petugas jentera pilihan raya, tetapi mereka yang tidak memakai baju rasmi parti, menunjukkan calon BN bagi DUN Rengit, Zaidi Japar diterima baik oleh pengundi di Rengit.
“Oleh itu, pada pandangan saya, Puad ini hanya boleh mempengaruhi sedikit sahaja orang-orang Rengit, kerana apa yang dilakukan oleh Puad telah melanggar prinsip perjuangan UMNO,” jelas beliau.
Pada PRN Johor kali ke-16, DUN Rengit menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH.