IPOH – Pertubuhan Muafakat Ayahanda-Ayahanda Perak (MAAP) memantau secara rapi sebarang aktiviti yang disyaki melibatkan maksiat atau pelanggaran norma masyarakat membabitkan warga asing di sekitar bandar raya ini.
Ahli Majlis MAAP, Amiruddin Mohd Daud berkata, pihaknya bertindak membuat pemeriksaan sendiri ke sebuah premis di Ipoh selepas tular dakwaan di media sosial kononnya terdapat sebuah kelab yang beroperasi untuk warga asing.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati dakwaan tersebut tidak tepat kerana premis berkenaan sebenarnya merupakan sebuah kedai makan yang beroperasi pada waktu siang untuk pelanggan warga Nepal.
"Maklumat yang diperoleh mendapati perhimpunan pada waktu malam hanya berlaku apabila terdapat tempahan tertentu seperti perjumpaan atau majlis melibatkan kumpulan warga Nepal dan bukannya sebuah kelab yang beroperasi secara tetap.
"Bagaimanapun, MAAP telah menasihatkan pemilik premis supaya tidak lagi membenarkan aktiviti pada waktu malam bagi mengelakkan salah faham serta ketegangan dalam kalangan masyarakat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Amiruddin berkata, setakat ini MAAP tidak melihat kewujudan kelompok besar warga asing yang menimbulkan masalah ketenteraman awam di Ipoh.
Menurutnya, walaupun terdapat banyak premis perniagaan dikendalikan warga Bangladesh dan Nepal di beberapa lokasi sekitar bandar raya itu, keadaan masih terkawal dan tidak menunjukkan penguasaan sesuatu kawasan seperti yang berlaku di tempat lain.
Amiruddin berkata, MAAP hanya akan mengambil tindakan menegur sekiranya menerima maklumat berhubung aktiviti yang bercanggah dengan nilai masyarakat atau melibatkan unsur maksiat.
Katanya, pendekatan pertubuhan itu lebih mengutamakan penyelesaian secara berhemah tanpa menghebahkan sesuatu isu sehingga menjejaskan imej Ipoh.
"Kami berpegang kepada prinsip amar makruf nahi mungkar. Jika ada perkara yang tidak betul, kita akan tegur.
"Kami juga tidak mahu setiap isu menjadi tular kerana keutamaan adalah menyelesaikan masalah dengan baik tanpa menimbulkan keresahan awam," katanya.
Beliau menambah, tindakan pemantauan itu turut menjadi peringatan kepada mana-mana pihak supaya tidak menganjurkan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang atau norma masyarakat di Ipoh.
Sementara itu tinjauan mendapati premis dimaksudkan dimiliki oleh warga tempatan yang disewa kepada warga asing tersebut.
Sebelum ini tular di media sosial memaparkan satu rakaman video sekumpulan warga asing sedang minum dipercayai minuman keras sambil menonton tarian seorang wanita di sebuah premis di pusat bandaraya Ipoh.
Situasi itu mendatangkan reaksi kurang senang dalam kalangan warganet tempatan yang meminta tindakan dikenakan terhadap warga asing berkenaan.