Ancelotti serah urusan Haaland kepada Gabriel

Iklan
Haaland dan Gabriel sering terlibat dalam insiden panas ketika kedua-duanya bersemuka di peringkat kelab. Foto Agensi

PENGENDALI Brazil, Carlo Ancelotti menegaskan tiada perancangan khas akan dirangka semata-mata untuk mengekang penyerang Norway, Erling Haaland menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia di Stadium New York New Jersey awal pagi Isnin (4 pagi waktu Malaysia).

Sebaliknya, Ancelotti percaya tanggungjawab itu mampu dipikul barisan pertahanan sedia ada, termasuk tonggak Arsenal, Gabriel Magalhaes yang pernah beberapa kali terlibat dengan insiden panas ketika berdepan Haaland di peringkat kelab.

Iklan
Iklan

Antara insiden paling diingati berlaku pada September 2024 apabila Haaland membaling bola ke arah Gabriel selepas Manchester City menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan yang berkesudahan 2-2 di Stadium Etihad.

Ketegangan antara kedua-dua pemain itu berterusan apabila dalam aksi terakhir mereka pada April tahun ini, Gabriel hampir dilayangkan kad merah selepas cubaan untuk menanduk Haaland dalam satu insiden panas di atas padang.

Iklan

“Tiada pelan khas untuk Haaland,” kata Ancelotti sambil menaruh keyakinan kepada benteng pertahanannya.

Haaland yang sudah meledak lima gol dalam kejohanan itu kekal menjadi ancaman utama, namun Ancelotti mengingatkan Norway bukan pasukan yang bergantung kepada seorang pemain sahaja.

Iklan

Beliau turut menamakan Martin Odegaard, Alexander Sorloth dan Antonio Nusa sebagai antara tonggak yang perlu diawasi.

“Norway pasukan yang seimbang dan sukar,” katanya sambil mengakui tetap berasa gementar menjelang aksi kalah mati.

Dalam masa sama, Ancelotti mengakui Brazil masih belum mencapai tahap terbaik dan perlu memperbaiki beberapa aspek permainan.

Isu kecederaan Lucas Paquetá turut membuka ruang perubahan dalam kesebelasan utama, namun beliau belum mendedahkan penggantinya.

Ancelotti turut menolak tanggapan bahawa kelebihan fizikal Norway akan menjadi penentu, sebaliknya menegaskan perlawanan akan ditentukan oleh ketepatan dan keberkesanan di depan gol.