Bangga 'curi' RON95 sambil tayang pasport, warga Singapura cetus kemarahan rakyat Malaysia

Iklan
Tindakan provokatif seorang pengguna media sosial dipercayai warga Singapura yang memuat naik hantaran mendakwa 'mencuri' minyak petrol subsidi di negara ini, mengundang kecaman

SHAH ALAM - Tindakan provokatif seorang pengguna media sosial dipercayai warga Singapura yang memuat naik hantaran mendakwa 'mencuri' minyak petrol subsidi di negara ini, mengundang kecaman hebat dan kemarahan dalam kalangan netizen tempatan.

Hantaran yang tular di aplikasi Threads itu memaparkan sekeping foto pasport Singapura yang dipegang bersebelahan dengan nozel pam minyak berwarna kuning, iaitu warna standard bagi petrol RON95 yang dikhususkan sebagai bahan api bersubsidi untuk kegunaan rakyat Malaysia sahaja.

Iklan
Iklan

Lebih mencetuskan kemarahan apabila pemilik akaun berkenaan turut menyertakan kapsyen berbaur sindiran:"How to piss off Malaysians as a Singaporean. Step one. Curi their minyak".

Perkongsian melampau itu dengan pantas meraih maklum balas negatif di media sosial, dengan rata-rata netizen menyifatkan perbuatan terbabit sebagai biadab, tidak bertanggungjawab dan selain sengaja melanggar undang-undang domestik demi mengejar publisiti murahan.

Iklan

Tinjauan di ruangan komen mendapati hantaran berkenaan dibalas dengan kecaman bertubi-tubi termasuk sindiran daripada seorang pengguna Threads yang menulis:"How to know a poor Singaporean. Step one. Can't afford to buy gas petrol at their own country".

Seorang lagi pengguna Threads meluahkan rasa kesal terhadap tindakan pelaku yang disifatkannya sebagai mempamerkan kebodohan sendiri secara terbuka di media sosial.

Iklan

Beliau turut menyindir pemilik akaun tersebut yang datang dari negara maju bertaraf dunia pertama, namun bersikap seperti orang 'pokai' demi menjimatkan wang belanja.

Isu berkenaan kelihatan semakin serius apabila seorang lagi pengguna Threads bertindak memuat naik tangkap layar profil pesalah serta menegaskan hasratnya untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.

"Saya akan membuat laporan polis petang ini," tulisnya ringkas sebagai maklum balas terhadap hantaran biadab berkenaan.

Bagaimanapun, pemilik akaun terbabit dilihat langsung tidak menyesali perbuatannya, malah membalas ugutan tersebut dengan nada acuh tak acuh serta sempat menyindir kononnya tidak mempunyai wang yang cukup untuk memberi rasuah kepada pihak berkuasa.

Isu ketirisan membabitkan kenderaan asing yang menyalahgunakan petrol RON95 bersubsidi sentiasa menjadi subjek sensitif dalam kalangan rakyat Malaysia, yang kini mendesak pihak berkuasa khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperketatkan penguatkuasaan di semua stesen minyak negara, terutama di kawasan sempadan.