JOHOR BAHRU - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu mengulangi tekad untuk memacu Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat dan berjaya.
Berucap pada majlis makan malam bersama komuniti Cina di sini, malam ini, beliau turut menzahirkan aspirasi untuk dikenang sebagai pemimpin yang sentiasa menyantuni setiap lapisan rakyat tanpa mengira kaum.
Perdana Menteri berkata, pada usia dan fasa kepimpinannya ketika ini, tumpuan utama beliau adalah untuk meninggalkan warisan kepimpinan yang adil, bersih dan berbakti kepada seluruh masyarakat di negara ini.
"Saya pun bukan muda, saya sudah tua. Esok saya pencen (saya mahu) orang kata Anwar sayang rakyat dan rakyat pun sayang dia, (maka) jaga negeri ini sebagai negeri kita sama-sama. Itu baru boleh berhasil," kata beliau.
Turut hadir pada majlis itu Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan sudah tiba masanya untuk rakyat menoktahkan politik berasaskan sentimen perkauman, sebaliknya memberikan tumpuan penuh kepada usaha membangunkan negara.
Beliau berkata mandat untuk menentukan kepimpinan yang mampu menjalin kerjasama demi kemajuan negeri dan negara terletak di tangan rakyat, tanpa mengira latar belakang kaum atau parti.
Menyentuh aspek pembangunan Johor, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan kini memberi tumpuan yang lebih besar kepada negeri itu bagi memastikan kemajuan tidak hanya tertumpu di bandar raya ini, sebaliknya turut dinikmati kawasan lain.
Beliau menarik perhatian mengenai keperluan pembangunan di kawasan seperti Simpang Renggam dan Mersing yang masih memerlukan suntikan pelaburan serta projek berimpak tinggi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri secara menyeluruh.
Perdana Menteri turut memberi jaminan akan terus menggalas tanggungjawab membangunkan Johor tanpa mengira keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), namun mengakui hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan memudahkan pelaksanaan agenda pembangunan.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menggesa rakyat Johor, termasuk mereka yang bekerja di luar negeri dan negara seperti Singapura supaya pulang mengundi pada PRN nanti bagi menentukan masa depan Johor.
Anwar menyifatkan penyertaan semua pengundi tanpa mengira kaum penting bagi memastikan Johor terus menikmati pembangunan yang mampan melalui kerjasama kukuh antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/. - Bernama