'Arwah tak terfikir nak kahwin, utamakan mak ayah' - Abang

Iklan
Jenazah Ahmad Nasaruddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Nerus pada Sabtu.

 

​KUALA NERUS – Pembantu tekong bot yang maut dalam tragedi bot karam di perairan Terengganu tidak berhasrat mendirikan rumah tangga kerana lebih mengutamakan kebajikan ibu bapanya yang uzur.

Iklan
Iklan

​Abang mangsa, Ahmad Junaidi Muhammad Jalil, 38, mendedahkan adiknya, Ahmad Nasaruddin, 37, sebelum ini pernah beberapa kali disaran oleh keluarga untuk berkahwin, namun menolak secara baik demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada orang tua mereka.

​Menurutnya, anak keempat daripada lima beradik itu yang menetap di Kampung Gong Datuk Baru, Padang Nenas menjadi tonggak utama keluarga dalam menguruskan keperluan harian, khususnya bapa mereka, Mohammad Jalil Musa, 69, yang menderita penyakit saraf.

Iklan

​"Segala urusan berkaitan janji temu hospital, rawatan, hinggalah tanggungjawab membawa ayah ke masjid untuk solat Jumaat, semuanya digalas oleh arwah.

"Pengorbanannya untuk keluarga amat besar," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tok Beng di sini, petang Sabtu.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Bot karam ketika candat sotong: Nelayan maut sempat potong tali sauh selamatkan 11 nyawa

'Sebelum meninggal dunia, adik sempat tolong semua penumpang'

'Saya minta arwah berpaut di belakang saya' - Mangsa bot candat sotong karam terapung hampir sejam tengah laut

'Saya berenang 1.8 kilometer cari bantuan' - Tekong imbau tragedi bot candat sotong karam

​Bercerita lanjut, Ahmad Junaidi menyifatkan, keperibadian adiknya yang sentiasa mendahulukan keselamatan orang lain turut terserlah ketika detik-detik akhir sebelum bot berkenaan karam sepenuhnya.

​Berdasarkan maklumat yang diterima keluarga, arwah dilaporkan memastikan kesemua penumpang menyarung jaket keselamatan terlebih dahulu sebelum menyedari dua lagi pelanggan sedang tidur akibat mabuk laut.

​"Arwah terus meluru ke arah mereka untuk menyerahkan jaket keselamatan. Seorang mangsa diberikan jaket yang ada berdekatan, manakala seorang lagi dipakaikan jaket keselamatan milik arwah sendiri.

​"Begitulah sifatnya sejak dahulu, sentiasa ringan tulang dan tidak pernah berkira membantu sesiapa sahaja. Hingga ke nafas terakhir, dia tetap meletakkan nyawa orang lain di hadapan," ujarnya sebak.

​Tambah Ahmad Junaidi, kehilangan mengejut tersebut meninggalkan impak yang amat mendalam buat mereka sekeluarga memandangkan arwah merupakan individu yang paling diharap dalam menjaga kebajikan ibu bapa mereka.

​Suasana hiba menyelubungi pekarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tok Beng apabila jenazah Ahmad Nasaruddin selamat dikebumikan kira-kira jam 6 petang selepas solat Asar, dengan kehadiran hampir 300 ahli keluarga serta kenalan terdekat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebuah bot mencandat sotong yang membawa 12 individu terdiri daripada pelanggan dan seorang tekong karam di tengah laut kira-kira jam 9 malam pada Jumaat.

​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, tiga individu telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan lanjut.

​Beliau berkata, dua daripada mereka menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang manakala seorang lagi mangsa masih menerima rawatan susulan.

​Mengulas mengenai kejadian, Azli berkata, ruangan enjin bot berkenaan dimasuki air ketika berada di tengah laut kira-kira jam 8.40 malam.

Katanya, ​air didapati naik terlalu cepat dan mangsa sempat memotong tali sauh bagi membolehkan tekong menggerakkan bot untuk mencari bot berhampiran bagi mendapatkan bantuan sebelum dilaporkan karam.