JOHOR BAHRU – Pemuda Barisan Nasional (BN) Johor mendakwa manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekadar menghimpunkan pelbagai janji bernilai berbilion ringgit tanpa disertakan pelan pembiayaan yang jelas.
Ketua Pemuda BN Johor, Noor Azleen Ambros berkata, antara tawaran yang menjadi persoalan adalah dana RM1 bilion untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta usahawan, selain peruntukan RM500 juta bagi belia dan anak muda.
ARTIKEL BERKAITAN: Manifesto PH: Kurangkan 50 peratus masa menunggu di sempadan Johor-Singapura
Manifesto PH: Bonus RM1,000 kepada bayi antara lima Inisiatif Pencetus Perubahan Johor
Menurutnya, PH gagal menjelaskan sama ada jumlah tersebut diperuntukkan untuk tempoh setahun, lima tahun atau sepanjang satu penggal pentadbiran.
"Persoalannya mudah. Adakah angka-angka ini ditetapkan berdasarkan kemampuan sebenar kewangan negeri atau sekadar angka yang dipilih untuk memancing undi?" katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Noor Azleen berkata, berdasarkan purata hasil tahunan Kerajaan Negeri Johor sekitar RM2 bilion dengan lebihan hasil hanya kira-kira RM4 juta hingga RM5 juta setahun, PH perlu menjelaskan bagaimana pelbagai komitmen bernilai berbilion ringgit itu mampu dibiayai.
"Dengan kedudukan fiskal sedemikian, bagaimana PH Johor bercadang membiayai pelbagai komitmen bernilai berbilion ringgit tanpa menjelaskan sumber hasil baharu atau mekanisme pembiayaan yang munasabah?" katanya.