KULAI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri tidak terjejas walau apa juga keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengingatkan semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak menjadikan pilihan raya sebagai medan permusuhan.
Katanya, kehadiran dirinya ke Johor bukan untuk mencari pergaduhan, sebaliknya meneruskan usaha membantu rakyat melalui dasar dan pembangunan yang dibawa kerajaan Persekutuan.
"Saya (PH) menang Johor pun saya Perdana Menteri, kalah di Johor pun saya Perdana Menteri. Jadi, bukan saya sombong. Saya mahu ingat sikitlah. You cakap cermat-cermat sikitlah. Wah, ini kalau orang cakap, lupa. Jangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kita Geng Madani Anak Muda Bukit Batu di Jalan Tropika di sini pada Sabtu.
Anwar berkata, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan pelbagai peruntukan bagi memacu pembangunan Johor dan berharap usaha itu tidak dipolitikkan.
Menurutnya, Johor perlu memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik dan rumah kos rendah sebagaimana dilaksanakan di Kuala Lumpur, Selangor serta Perak.
"Apa yang kurang lagi Johor? Ya, bukan projek besar, itu saya sekali lagi ingat, itu projek lebuh raya semua tak apa, ini kita buat.
"Universiti, itu persekutuan (laksanakan). Jalan besar, itu kita (laksanakan). Itu projek Rapit Transit Sistem (RTS), kereta api berpuluh bilion, ini baru-baru ini projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di Johor Bahru. Itu RM15 bilion, RM16 bilion ringgit. Tak apa, itu kita cari duit.
"Tapi ini rumah, rumah rakyat, gerai-gerai. Tengok Kuala Lumpur sekarang kita jaga. Berapa puluh? Seratus lebih, semua gerai kita bangkit bagi bersih, baharu. Ini orang mahu berniaga kecil susah. Sebab apa kita tumpu itu? Pemimpin, dia mesti fikir di bawah. Ini polisi kita," katanya.
Dalam pada itu, Anwar secara berseloroh berkata, Johor seolah-olah tidak sabar mengadakan PRN walaupun penggal pentadbiran negeri masih berbaki beberapa tahun.
"Lagi cepat (buat PRN), lagi banyak dia ingat boleh menang. Eh, belum tentu. Lagi cepat, lagi banyak dia akan kalah!" katanya.