Dahulu dakwa pegang 10 Ahli Parlimen PKR, sekarang tinggal berapa? - Soal AMK kepada Rafizi

Iklan
Dzul Hilmi (gambar kiri) berkata, Rafizi perlu menjelaskan kepada rakyat berapa ramai Ahli Parlimen PKR yang masih berdiri teguh menyokongnya jika benar beliau masih mempunyai pengaruh besar dalam parti.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan dakwaan Datuk Seri Rafizi Ramli mengenai sokongan yang masih dimilikinya dalam PKR, susulan timbul spekulasi bahawa sebahagian besar sekutu politiknya tidak lagi bersama beliau.

Exco AMK Malaysia, Dzul Hilmi Zainol berkata, Rafizi perlu menjelaskan kepada rakyat berapa ramai Ahli Parlimen PKR yang masih berdiri teguh menyokongnya jika benar beliau masih mempunyai pengaruh besar dalam parti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika Rafizi benar-benar mempunyai kekuatan politik seperti yang sering digambarkan, timbul persoalan mengapa semakin ramai sekutu politiknya dilihat menjauhkan diri.

Beliau turut mempersoalkan mengapa individu yang sebelum ini dikenali sebagai penyokong kuat Rafizi tidak kelihatan turun membantu kempen Parti Bersama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Iklan

“Mungkin sudah tiba masanya Rafizi menerima hakikat bahawa selama ini beliau kelihatan besar kerana berdiri di atas pentas sebuah parti yang besar.

“PKR memberinya jentera, akar umbi, ruang dan kedudukan. PKR juga yang membawa namanya ke seluruh negara.

Iklan

“Rafizi perlu faham bahawa kepetahan berucap di media sosial atau di pentas ceramah bukan jaminan kekuatan politik. Angka di media sosial bukan jentera pilihan raya. Podcast bukan cawangan parti. ‘Like’ dan ‘share’ bukan undi, manakala keyakinan bahawa hanya dirinya yang betul bukan formula untuk mentadbir negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, PKR dibina atas perjuangan panjang, pengorbanan reformis, kesetiaan akar umbi dan kepercayaan rakyat.

Menurutnya, parti itu juga pernah melalui pelbagai cabaran termasuk pemenjaraan pemimpin, tekanan politik, pengkhianatan serta krisis yang lebih besar daripada seorang individu yang kecewa kerana tidak lagi mampu menentukan hala tuju parti.

“Jadi mesej saya kepada Rafizi sangat mudah. Rafizi pernah berada dalam PKR, tetapi Rafizi bukan PKR.

“PKR membantu membesarkan nama Rafizi. Jangan sampai Rafizi tersilap menyangka bahawa beliau yang membesarkan PKR,” katanya.

Beliau berkata, jika Rafizi benar-benar yakin masih mempunyai sokongan besar, beliau seharusnya menunjukkan kepada rakyat berapa ramai Ahli Parlimen PKR yang sanggup berdiri secara terbuka di belakangnya.

“Dalam politik, dakwaan boleh dibuat setiap hari. Namun apabila satu demi satu sekutu mula menjauh, rakyat juga mampu menilai siapa sebenarnya yang semakin kehilangan pengaruh,” katanya.