'Saya minta arwah berpaut di belakang saya' - Mangsa bot candat sotong karam terapung hampir sejam tengah laut

Iklan
Arwah Ahmad Nasaruddin (kiri) dan Mohd Awais.

KUALA NERUS – “Saya sedar arwah dalam keadaan lemah jadi saya minta dia berpaut di belakang saya.”

Demikian detik cemas dikongsi tekong bot, Mohd Awais Sa’ari selepas bot candat sotong yang dinaikinya bersama 11 individu lain karam di perairan Terengganu pada Jumaat, menyebabkan seorang kru bot maut.

Iklan
Iklan

Mohd Awais berkata, insiden itu berlaku secara tiba-tiba sejurus selepas beliau selesai menunaikan solat Maghrib.

Menurutnya, bot yang membawa 12 individu termasuk kru bot yang maut, Ahmad Nasaruddin Mohmad Jalil, 37, berada dalam keadaan baik sebelum kejadian dan digunakan hampir setiap hari bagi aktiviti mencandat sotong sejak beberapa bulan lalu.

Iklan

Pasukan penyelamat mengusung jenazah kru bot, Ahmad Nasaruddin yang maut selepas bot mencandat sotong dinaikinya karam kira-kira sembilan batu nautika dari Kuala Nerus di Jeti LKIM Kampung Batin. Foto Bernama

“Petanda awal apabila saya nampak air masuk dalam jumlah yang banyak ke bahagian enjin. Saya cuba ikhtiar dengan menyuruh arwah memotong tali sauh dan cuba menggerakkan bot untuk mendapatkan bantuan, namun tidak sempat sebelum bot itu tiba-tiba karam,” katanya ketika ditemui di Jeti Kampung Batin, Seberang Takir, pada Sabtu.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Bot karam ketika candat sotong: Nelayan maut sempat potong tali sauh selamatkan 11 nyawa

'Sebelum meninggal dunia, adik sempat tolong semua penumpang'

Mohd Awais berkata, sebelum bot karam sepenuhnya, semua penumpang sempat memakai jaket keselamatan dan berada dalam keadaan tenang hasil tindakan pantas mangsa yang maut.

“Arwah sempat meminta semua penumpang memakai jaket keselamatan dan menenangkan mereka,” katanya.

Menurutnya, keadaan menjadi semakin kritikal apabila bot berkenaan karam sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 15 hingga 20 minit sehingga memaksa kesemua mangsa berpaut dan terapung di tengah laut.

Sebuah bot mencandat sotong yang membawa 12 individu terdiri daripada pelanggan dan seorang tekong karam di tengah laut kira-kira jam 9 malam pada Jumaat. Foto Bernama

“Selepas bot karam, semua orang terapung. Saya cuba menenangkan mereka termasuk 10 pelanggan saya,” katanya.

Mohd Awais berkata, beliau kemudian menyedari Ahmad Nasaruddin semakin lemah sebelum mulutnya mula berbuih, manakala pemeriksaan nadi mendapati mangsa sudah tidak bernyawa.

“Saya minta semua pelanggan memegang arwah supaya dia tidak tenggelam, kemudian saya berenang kira-kira satu batu (1.8 kilometer) untuk mendapatkan bantuan daripada bot lain,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebuah bot candat sotong yang membawa 12 individu terdiri daripada pelanggan dan kru karam di tengah laut kira-kira jam 9 malam pada Jumaat.

Insiden itu mengorbankan Ahmad Nasaruddin, manakala 11 lagi mangsa berjaya diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, tiga individu dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan lanjut.

Menurutnya, dua daripada mereka menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang, manakala seorang lagi masih menerima rawatan susulan.

Mengulas kejadian itu, Azli berkata, ruang enjin bot dimasuki air ketika berada di tengah laut kira-kira jam 8.40 malam.

Katanya, air naik terlalu cepat dan mangsa sempat memotong tali sauh bagi membolehkan tekong menggerakkan bot untuk mendapatkan bantuan daripada bot berhampiran sebelum bot berkenaan dilaporkan karam.