Lebih RM429 juta diperuntuk perkasa agensi penguatkuasaan di Johor - Saifuddin

Iklan
Saifuddin

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperuntukkan lebih RM429 juta untuk memperkukuh kebajikan anggota dan meningkatkan keupayaan operasi badan penguatkuasaan di Johor dari 2023 hingga tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peruntukan itu melibatkan tiga agensi utama, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Penjara Malaysia.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, langkah menjaga kebajikan anggota bukan sekadar menyediakan kemudahan yang lebih baik, sebaliknya pelaburan bagi memastikan mereka dapat melaksanakan amanah dengan lebih cekap, selamat dan berkesan demi menjamin keselamatan rakyat Johor.

"Apabila anggota penguat kuasa mempunyai tempat bertugas yang lebih kondusif, kuarters lebih selesa dan kemudahan operasi lebih moden, rakyat turut menikmati manfaatnya melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih baik serta persekitaran lebih aman dan sejahtera.

Iklan

"KDN akan terus memastikan setiap peruntukan yang diamanahkan dimanfaatkan sebaiknya agar kebajikan anggota sentiasa terpelihara, sekali gus memperkukuh keselamatan bangsa Johor dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Sabtu.

Saifuddin Nasution berkata, jumlah komitmen KDN itu merangkumi RM174.8 juta bagi projek yang telah siap dan sedang dalam pelaksanaan manakala RM255 juta lagi bagi projek dalam perancangan.

Iklan

Antara projek sedang dilaksanakan ialah perolehan tanah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengerang, pembelian premis dan kuarters JIM Johor Bahru serta naik taraf pelbagai kemudahan asas di Penjara Kluang.

Bagi projek dalam perancangan, ia merangkumi pembinaan IPD Segamat berserta balai polis dan perumahan, penggabungan dewan penumpang bas di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta naik taraf bengkel dapur Penjara Kluang dan sistem bekalan air Penjara Simpang Renggam.

Saifuddin Nasution berkata, pelaksanaan inisiatif itu sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI yang memastikan setiap kerajaan negeri menerima sokongan diperlukan berdasarkan keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, perkara itu dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat baru-baru ini berhubung peningkatan peruntukan pembangunan dan pengurusan kepada Johor yang mencecah kira-kira RM14.6 bilion berbanding RM10.2 bilion sebelum ini. - Bernama