KUCHING - Seorang wanita ditemukan rentung manakala ibunya mengalami melecur tahap dua dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tubih Batu Raung, Serian, awal pagi Jumaat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.29 tengah malam.
Menurut kenyataan itu, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal setingkat berukuran 48 x 70 kaki yang musnah sepenuhnya.
“Ibunya, Sharifah Bok Wan Muhsin, 65, mengalami kecederaan melecur tahap dua pada bahagian muka, leher, belakang badan, tangan dan tapak kaki serta telah dihantar ke Hospital Serian sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” menurut kenyataan itu.
JBPM Sarawak memaklumkan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian, manakala punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. - Bernama