MEERUT - Seorang jurusolek yang juga pempengaruh media sosial maut selepas dipercayai ditikam suaminya dalam satu pertikaian berhubung pemilikan sebidang tanah di daerah Meerut, negeri Uttar Pradesh, India pada Jumaat.
Mangsa, Nisha Chauhan, 45, diserang di kediamannya di Harra di bawah kawasan pentadbiran Balai Polis Sarurpur selepas berlaku pertengkaran dengan suaminya, Pradeep Kumar.
Menurut polis, pasangan yang telah mendirikan rumah tangga hampir 18 tahun dan mempunyai tiga orang anak itu bertengkar kira-kira jam 6 pagi mengenai urusan pendaftaran hak milik tanah baru dibeli.
Nisha dikatakan mahu tanah berkenaan didaftarkan atas namanya kerana menyumbang sebahagian besar daripada kos pembelian.
Bagaimanapun, Pradeep didakwa mengesyaki isterinya dan bimbang hartanah itu akan diambil alih sekiranya berlaku perpisahan.
Ketua Balai Polis Sarurpur, Gaurav Singh berkata, suspek kemudian naik ke tingkat atas rumah untuk mengambil sebilah pisau dapur sebelum menikam mangsa berulang kali di bahagian leher dan pergelangan tangan.
"Anak sulung pasangan itu yang berusia 17 tahun cuba meleraikan pergaduhan, namun turut cedera sebelum bergegas mendapatkan bantuan jiran.
Nisha disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah, manakala Pradeep kini dirawat di hospital.
Pegawai polis Sardhana, Ashutosh Kumar berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertikaian mengenai pemilikan tanah yang ingin didaftarkan atas nama masing-masing.
Polis bersama pasukan forensik telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, manakala mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat.
Siasatan lanjut berhubung kes berkenaan sedang dijalankan. - Agensi