KUALA LUMPUR - Ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini pada Jumaat dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dipacu sentimen positif ke atas mata wang Asia susulan pengumuman data Penggajian Bukan Perladangan (NFP) AS.
Pada 6 petang, ringgit mengukuh ke paras 4.0690/0735 berbanding dolar AS daripada 4.0780/0830, semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, data NFP terbaharu yang lebih rendah berbanding jangkaan awal ternyata menjadi pemangkin, sekali gus turut membayangkan Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak tergesa-gesa untuk bertindak menaikkan kadar faedah utama negara itu.
"Ringgit mengukuh sehingga mencecah paras 4.0600 berbanding dolar AS pada sesi urus niaga pagi, namun susut pada tengah hari dan seterusnya di paras semasa sewaktu urus niaga ditutup,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, prestasi pengukuhan itu turut dicatatkan oleh mata wang Asia berbanding dolar AS pada hari ini.
Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ini termasuk naik berbanding pound Britain kepada to 5.4325/4385 daripada 5.4401/4467 ketika ditutup pada Khamis selain mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5253/5281 daripada 2.5295/5327 sebelum ini.
Namun, ringgit susut nilai berbanding euro pada 4.6553/6606 daripada 4.6526/6583 semalam.
Pada masa sama, ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang serantau.
Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1521/1558 daripada 3.1517/1558 serta turun berbanding baht Thailand kepada 12.2782/2966 daripada 12.2411/2613 semalam.
Sebaliknya, ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 226.5/226.8 daripada 226.6/226.9 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.62/6.63 yang dicatatkan semalam.- Bernama