Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau tunai solat Jumaat bersama masyarakat

Iklan
Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid (dua, kiri) mengaminkan bacaan doa ketika solat Jumaat di Masjid Kampung Paya Seberang, hari ini. Foto Bernama

SEREMBAN - Undang Luak Sungei Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid menunaikan solat Jumaat di luak kawasan masing-masing hari ini.

Ketibaan dua pembesar Negeri Sembilan yang baharu dizahirkan itu, masing-masing di Masjid Kariah Pantai dan di Masjid Kariah Seberang Paya Rembau kira-kira 1 tengah hari tadi.

Iklan
Iklan

Muhammad Faris dizahirkan sebagai Undang Sungei Ujong ke-11 dan Hassan sebagai Undang Luak Rembau ke-22 pada Sabtu lepas, di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Buat kali pertama, nama pembesar Negeri Sembilan itu dibacakan dalam doa di masjid luak masing-masing, bersekali dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Iklan

Terdahulu, Imam Masjid Kariah Pantai, Amru Zubair Abu Hanifah dan Imam Khairul Ashraf Mohd Kudus, masing-masing menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk"Muflis Akhirat”.

Selesai menunaikan solat Jumaat, Muhammad Faris beramah mesra dengan para jemaah sebelum menyantuni keluarga penduduk kampung tersebut yang kehilangan insan tersayang dengan menunaikan solat jenazah bersama jemaah di masjid berkenaan.

Iklan

Dalam pada itu, di Masjid Kariah Seberang Paya Rembau, Hassan diiringi Datuk-Datuk Lembaga Luak Rembau dan Buapak Delapan Kampung Waris Biduanda Nan Dua Carak disambut penduduk setempat.

Seusai menunaikan solat Jumaat beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk makan tengah hari bersama kariah dan ahli jawatankuasa masjid sempena jamuan meraikan kedatangan Undang Rembau yang menunaikan solat Jumaat pertama selepas dizahirkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22.- Bernama