SUNGAI GOLOK, THAILAND -"Setakat pekan Sungai Golok, kami masih berani dan rasa selamat."
Demikian kata rakyat Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Aleeya Mustafa, 27, ketika ditanya sama ada insiden letupan bom di Tak Bai pada Isnin menjejaskan keyakinannya untuk berkunjung ke negara jiran itu.
Menurutnya, meskipun perkembangan keselamatan di Selatan Thailand sentiasa menjadi perhatian, dia masih yakin untuk memasuki pekan Sungai Golok kerana kawasan tersebut dianggap lebih selamat berbanding lokasi lain yang pernah dikaitkan dengan insiden letupan.
"Tetapi sejak kejadian bom itu kami tidak berani pergi ke kawasan yang lebih jauh, cukup di pekan Sungai Golok sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Bagi Siti Rohani Harun, 43, dari Kuala Besut, Terengganu memberitahu, setiap bulan dia dan keluarga akan ke Pattani, Narathiwat untuk makan-makan.
"Hari ini (Jumaat) kami sekadar makan-makan di pekan Sungai Golok sahaja.
"Bimbang pula memikirkan kejadian letupan bom yang telah menimpa rakyat Malaysia Isnin lalu. Lagipun kami di sini tidak lama, selepas makan, membeli-belah di kedai serbaneka, terus pulang," katanya.
Pekerja kedai serbaneka, Rokeah Abedullah, 24, memberitahu, selepas kejadian letupan bom itu kunjungan daripada pelanggan sedikit berkurang.
Ujar dia, biasanya pada Jumaat pengunjung dari Malaysia akan memenuhi kedai terbabit untuk membeli-belah.
"Hari ini sunyi sedikit. Tidak seperti biasa. Mungkin rakyat Malaysia masih bimbang untuk datang ke sini selepas kejadian tersebut," katanya.